KUALA TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) melakukan rombakan pentadbiran tertinggi dengan melantik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata penstrukturan semula itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal 8.3 (V), (VI) dan (VII) Perlembagaan Perikatan Nasional dan berkuat kuasa serta-merta.
Menurut beliau, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya telah diberhentikan dan digantikan oleh Muhammad Sanusi.
“Jawatan Bendahari yang sebelum ini disandang oleh Muhammad Sanusi pula diserahkan kepada Tuan Subramaniam A/L Surunaryan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut diberhentikan daripada jawatan Timbalan Setiausaha Agung bagi memenuhi kehendak Perlembagaan Perikatan Nasional.
Ahmad Samsuri berkata, satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi gabungan itu.
Rombakan tersebut dilihat sebagai langkah penting PN dalam menyusun semula kepimpinan dan memperkukuh jentera parti menjelang kemungkinan berlakunya PRN di Johor dan Negeri Sembilan.





























