Roh Akidah Tunjang Perjuangan Islam

66

KUALA TERENGGANU – Roh akidah merupakan tunjang utama dalam memastikan perjuangan Islam terus kukuh, istiqamah dan mendapat pertolongan Allah SWT.

Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, terdapat dua faktor utama dalam mencapai kemenangan perjuangan Islam iaitu akidah yang benar semata-mata mencari keredaan Allah dan pembinaan kekuatan pasukan perjuangan.

Menurutnya, perjuangan tanpa asas aqidah yang kukuh akan menyebabkan seseorang mudah goyah, hilang arah dan terpengaruh dengan kepentingan duniawi.

“Perjuangan yang dicemari niat yang salah atau maksiat akan kehilangan nusrah dan keberkatan daripada Allah SWT,” jelasnya ketika dihubungi hari ini, mengulas pada program Tamrin Qiyadi Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu, pada minggu lepas.

Beliau menjelaskan, aqidah yang sahih akan melahirkan pejuang yang ikhlas, berani, sabar menghadapi ujian dan sanggup berkorban demi menegakkan agama Allah.

Katanya, keyakinan bahawa segala ketentuan berada di bawah kekuasaan Allah akan menghilangkan rasa takut dalam diri pejuang serta memperkukuhkan semangat mempertahankan Islam.

“Aqidah juga menjadi asas penyatuan ummah kerana ia menyatukan para pejuang atas dasar keimanan yang sama tanpa mengira bangsa dan latar belakang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa perjuangan Islam mestilah bersifat rabbani, berteraskan wahyu Allah dan diteruskan secara berkesinambungan oleh generasi pelapis.

Menurut Dr Wan, konsep tawakal dan disiplin organisasi juga menjadi antara ciri penting perjuangan yang berasaskan akidah.

Beliau turut membawa beberapa contoh daripada sejarah perjuangan Islam termasuk kisah para sahabat Rasulullah SAW yang sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan agama Allah.

Dr Wan Mat berkata, akidah yang benar mampu menukar kalimah kebenaran kepada kekuatan sebenar dalam membina umat dan menegakkan agama Allah dalam kehidupan masyarakat.