‘Mega Street’ Siasah PAS Kemaman Dekati Masyarakat Secara Bersemuka

4

Oleh : Muhammad Fakhruddin Nordin

KEMAMAN, 30 Ogos – Lajnah Penerangan PAS Kawasan Kemaman turun ke lapangan menerusi Program Mega Street Siasah PAS sebagai usaha mendekati masyarakat secara terus dalam suasana santai dan mesra.

Ketua Penerangan PAS Kemaman, Syed Shahrunuddin Syed Mohd Sah berkata, pendekatan turun padang membolehkan penerangan berkaitan isu semasa disampaikan secara lebih dekat, selain membuka ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara dua hala bersama pimpinan dan jentera PAS.

“Pendekatan seperti ini memberi peluang kepada kita untuk bertemu masyarakat secara terus dalam suasana yang lebih santai dan mesra.

“Pada masa sama, orang ramai mempunyai ruang untuk bertanya dan mendapatkan penjelasan berkaitan isu semasa serta pendirian parti,” katanya.

Menurutnya program tersebut menghimpunkan pemimpin dan jentera PAS Kawasan Kemaman untuk bertemu masyarakat, menyampaikan penerangan berkaitan isu semasa dan pada masa sama memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat.

Katanya, antara yang terlibat ialah Ketua Penerangan PAS DUN Cukai, Ahmad Khairuddin Mohd Zaki dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Kawasan Kemaman, Mesilah Mohamed.

“Program itu menyasarkan pengunjung Pasar Tani, golongan peniaga, masyarakat setempat serta orang ramai di sekitar Kemaman menerusi pendekatan komunikasi secara bersemuka.

“ia bukan sekadar memberi fokus kepada aspek penerangan, malah turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.” jelas Syed Shahrunuddin.

Selain itu, katanya, program tersebut turut menyemarakkan rasa cinta terhadap tanah air bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan, sekali gus membawa mesej patriotisme kepada masyarakat.

“Kita mahu ruang komunikasi dengan masyarakat sentiasa terbuka. Program seperti ini juga membolehkan kita mendengar pandangan mereka secara langsung selain menyampaikan penerangan mengenai isu-isu semasa,” katanya.

Justeru kata beliau, program Mega Street Siasah PAS itu diharap dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu semasa, memperluaskan ruang komunikasi bersama rakyat serta meningkatkan keberadaan dan keterlihatan PAS Kemaman di lapangan.