Bagi memberi pencerahan kepada mereka yang buta terhadap al-Quran dan kalangan yang berjenama ulama’ tetapi tidak bertafaqquh dalam al-din, mereka perlu memahami al-Quran secara istiqamah. Jangan sewenang-wenangnya menuduh kalangan yang berjuang menegakkan Islam yang ikhlasnya terserah kepada Allah.
Al-Quran tetap dipelihara oleh Allah, maka sesiapa yang cuba memutarbelitkannya pasti akan terdedah. Al-Quran merupakan mukjizat ilmu yang dipelihara oleh Allah dan wajib dipelajari bersama segala ilmu yang berkaitan dengannya yang dinamakan ‘ulum al-Quran, dari sudut bahasa asalnya, dan bertafaqquh (memahaminya) secara riwayat dan dirayat.
Ada ayat-ayat al-Quran yang ditafsirkan oleh ayat-ayat yang lain, ada juga yang ditafsirkan oleh hadis Rasulullah SAW, dan juga oleh para ulama’ yang mewarisi pusaka para anbiya’ dalam kalangan para sahabat dan tabiin yang bertali arus sehingga akhir zaman. Apabila al-Quran diangkat dan para ulama’ yang berwibawa dimatikan, maka tinggallah ulama’ yang jahat dan orang-orang jahil. Namun begitu, kini banyak ilmu yang ditulis dan terpelihara catatannya dalam kitab-kitab muktabar.
Al-Quran ialah petunjuk Allah yang diminta oleh para hamba dalam setiap rakaat solat. Hal ini demikian kerana, manusia berada dalam keadaan yang sangat mencabar disebabkan terdapat banyak gangguan dalam perjalanan hidup mereka. Ada syaitan dalam kalangan manusia yang dapat dilihat dan ada syaitan ghaib yang tidak dapat dilihat.
Di samping itu, al-Quran juga ialah petunjuk dalam semua perkara, khususnya kepada manusia yang telah ditetapkan tujuan kejadiannya oleh Allah Pencipta alam dan Pentadbirnya. Ia merupakan petunjuk secara mutlak yang tidak diragukan. Firman Allah SWT:
ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ ٢
“Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.” [Surah al-Baqarah: 2]
Al-Quran juga merupakan petunjuk dalam semua perkara, sepertimana firman Allah SWT:
… وَنَزَّلۡنَا عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ تِبۡيَٰنٗا لِّكُلِّ شَيۡءٖ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٗ وَبُشۡرَىٰ لِلۡمُسۡلِمِينَ ٨٩
“…Dan Kami turunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” [Surah al-Nahl: 89]
Al-Quran menegaskan bahawa politik menjadi salah satu daripada tiga tujuan makhluk manusia diciptakan:
1. Beribadat. Firman Allah SWT:
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦
“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” [Surah al-Zariyat: 56]
2. Berkhilafah. Firman Allah SWT:
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” [Surah al-Baqarah: 30]
Para ulama’ mentafsirkan perkataan khilafah dengan huraian:
حِرَاسَةُ الدِّيْنِ وَسِيَاسَةُ الدُّنْيَا بِهِ.
“Menegakkan al-din (Islam) dan siasah dunia (politik mentadbir) dengannya (agama).” [Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun (al-Muqaddimah), jld. 1, hlm. 239, dan al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 15]
3. Beramanah melaksanakan hukum dengan adil. Firman Allah SWT:
إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا ٧٢
“Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” [Surah al-Ahzab: 72]
Firman Allah SWT lagi:
… ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ …٣
“…Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu ni‘mat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagimu…” [Surah al-Ma’idah: 3]
Maka, Islam ialah al-din yang mengandungi urusan yang dinamakan agama dalam bahasa lain atau pelbagai bahasa bukan Arab. Hal ini termasuklah urusan dunia yang berkait dengan peranan manusia diciptakan.
Tujuan berpolitik adalah bagi menunaikan amanah yang paling besar iaitu menegakkan hukum Allah yang adil. Allah SWT berfirman:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]
Kemudian, ia dikaitkan pula dengan iman (aqidah) yang tidak berpisah daripadanya. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulu al-amri antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah al-Nisa’: 59]
Politik dan keadilan tidak boleh dipisahkan daripada aqidah. Jangan salah faham dengan mengatakan bahawa politik tidak mempunyai kaitan dengan aqidah kerana ia bukan sekadar perkara kecil yang dipergunakan sekali-sekala untuk menegakkan kebatilan. Islam menolak ajaran sesat yang menafikan politik daripada Islam, memisahkannya daripada Islam atau mengasingkannya daripada iman (aqidah). [Menurut al-Qaradawi dalam karyanya iaitu al-Din wa al-Siyasah: Ta’ṣil wa Radd Shubahat]
Al-Quran mentafsirkan aspek ini dengan menerangkan kewajipan para rasul yang dilantik oleh Allah:
كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣
“Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]
Al-Quran juga membawa perjuangan politik para anbiya’ yang tidak berpisah daripada dakwah dan Islam. Ia menjadi rujukan dakwah apabila mereka juga berpolitik menghadapi pihak yang berkuasa pada zaman masing-masing.
Allah SWT menceritakan kisah Nabi Nuh AS melalui firman-Nya:
فَقَالَ ٱلۡمَلَؤُاْ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن قَوۡمِهِۦ مَا هَٰذَآ إِلَّا بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُرِيدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيۡكُمۡ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَأَنزَلَ لَأَنزَلَ مَلَـٰٓئِكَةً مَّا سَمِعۡنَا بِهَٰذَا فِيٓ ءَابَآئِنَا ٱلۡأَوَّلِينَ ٢٤
“Maka, pemuka-pemuka orang yang kafir antara kaumnya menjawab, ‘Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi daripada kamu. Dan kalau Allah menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa orang malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan yang seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu.’” [Surah al-Mu’minun: 24]
Nabi Nuh AS dituduh berdakwah kerana menginginkan pangkat semata-mata, bukan kerana ingin melakukan islah politik.
Kisah Nabi Ibrahim AS pula diceritakan oleh Allah melalui firman-Nya:
۞وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِيۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٢٤
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimah (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku akan menjadikanmu imam (pemimpin) bagi seluruh manusia.’ Ibrahim berkata, ‘(Dan aku mohon juga) daripada keturunanku.’ Allah berfirman, ‘Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim.’” [Surah al-Baqarah: 124]
Al-Quran menceritakan perdebatan Ibrahim AS menghadapi Raja Namrud yang sombong berkuasa:
أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِي حَآجَّ إِبۡرَٰهِۧمَ فِي رَبِّهِۦٓ أَنۡ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ٱلۡمُلۡكَ إِذۡ قَالَ إِبۡرَٰهِۧمُ رَبِّيَ ٱلَّذِي يُحۡيِۦ وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا۠ أُحۡيِۦ وَأُمِيتُۖ قَالَ إِبۡرَٰهِۧمُ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَأۡتِي بِٱلشَّمۡسِ مِنَ ٱلۡمَشۡرِقِ فَأۡتِ بِهَا مِنَ ٱلۡمَغۡرِبِ فَبُهِتَ ٱلَّذِي كَفَرَۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٢٥٨
“Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang berdebat dengan Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan, ‘Tuhanku ialah Yang Menghidupkan dan Mematikan,’ orang itu berkata, ‘Aku dapat menghidupkan dan mematikan.’ Ibrahim berkata, ‘Sesungguhnya, Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat,’ lalu terdiamlah orang kafir itu; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” [Surah al-Baqarah: 258]
Allah juga menceritakan kisah Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS menghadapi raja Mesir (Firaun) melalui firman-Nya:
ٱذۡهَبۡ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ ٢٤
“Pergilah kepada Firaun; sesungguhnya dia telah melampaui batas.” [Surah Taha: 24]
Di samping itu, Allah SWT juga menceritakan kisah Firaun yang berbangga dengan projek kerajaannya bagi membantu rakyat, sepertimana firman-Nya:
وَنَادَىٰ فِرۡعَوۡنُ فِي قَوۡمِهِۦ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَلَيۡسَ لِي مُلۡكُ مِصۡرَ وَهَٰذِهِ ٱلۡأَنۡهَٰرُ تَجۡرِي مِن تَحۡتِيٓۚ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ ٥١ أَمۡ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡ هَٰذَا ٱلَّذِي هُوَ مَهِينٞ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ ٥٢ فَلَوۡلَآ أُلۡقِيَ عَلَيۡهِ أَسۡوِرَةٞ مِّن ذَهَبٍ أَوۡ جَآءَ مَعَهُ ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ مُقۡتَرِنِينَ ٥٣ فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُۥ فَأَطَاعُوهُۚ إِنَّهُمۡ كَانُواْ قَوۡمٗا فَٰسِقِينَ ٥٤
“Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata, ‘Wahai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihatnya? (51) Bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)? (52) Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang daripada emas atau malaikat datang bersama-samanya untuk mengiringkannya?’ (53) Maka, Firaun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya. Sesungguhnya, mereka adalah kaum yang fasiq. (54)” [Surah al-Zukhruf: 51-54]
Para pemimpin Makkah juga mencabar Rasulullah SAW supaya membawa projek kemudahan kepada penduduk Makkah untuk dijadikan syarat supaya mereka memeluk Islam. Firman Allah SWT:
وَقَالُواْ لَن نُّؤۡمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفۡجُرَ لَنَا مِنَ ٱلۡأَرۡضِ يَنۢبُوعًا ٩٠ أَوۡ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٞ مِّن نَّخِيلٖ وَعِنَبٖ فَتُفَجِّرَ ٱلۡأَنۡهَٰرَ خِلَٰلَهَا تَفۡجِيرًا ٩١ أَوۡ تُسۡقِطَ ٱلسَّمَآءَ كَمَا زَعَمۡتَ عَلَيۡنَا كِسَفًا أَوۡ تَأۡتِيَ بِٱللَّهِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ قَبِيلًا ٩٢ أَوۡ يَكُونَ لَكَ بَيۡتٞ مِّن زُخۡرُفٍ أَوۡ تَرۡقَىٰ فِي ٱلسَّمَآءِ وَلَن نُّؤۡمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيۡنَا كِتَٰبٗا نَّقۡرَؤُهُۥۗ قُلۡ سُبۡحَانَ رَبِّي هَلۡ كُنتُ إِلَّا بَشَرٗا رَّسُولٗا ٩٣
“Dan mereka berkata, ‘Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dari bumi untuk kami. (90) Atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya. (91) Atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami. (92) Atau kamu mempunyai sebuah rumah daripada emas, atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu sehingga kamu turunkan kepada kami sebuah kitab yang kami baca.’ Katakanlah, ‘Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?’ (93)” [Surah al-Isra’: 90-93]
Semuanya hujah politik yang dihadapi oleh para anbiya’ AS, termasuk Rasulullah SAW.
Adapun perjuangan Rasulullah SAW disambung oleh kumpulan Islam selepas kewafatan Baginda sehingga akhir zaman oleh kumpulan Islam yang dinamakan ummah, jemaah, taifah atau parti yang disebut dalam al-Quran dan hadis yang sama maksudnya.
Kamus Dewan Bahasa menghuraikan perkataan parti dengan maksud kumpulan manusia yang bergabung untuk mencapai matlamat atau dasar politik yang sama. Hal ini diterangkan seperti berikut:
1. Majlis sosial: Perjumpaan orang ramai untuk bersuka-suka, meraikan sesuatu acara, atau berhibur (seperti majlis hari jadi).
2. Kumpulan/ Badan: Sekumpulan individu yang melakukan sesuatu aktiviti bersama (seperti pasukan mencari atau pihak-pihak dalam urusan undang-undang).
Parti politik (kumpulan politik) dalam bahasa Arab disebut sebagaiحِزْب (hizb), atau kata jamaknya أَحْزَاب (ahzab). Perkataan hizb disebut dalam dua surah dalam al-Quran, iaitu Surah al-Ma’idah dan Surah al-Mujadalah.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦
“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54) Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah (parti-Nya) itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 54-56]
Al-Quran menegaskan bahawa mewujudkan kumpulan Islam atau parti Islam adalah perintah Allah yang terkandung dalam ajaran Islam. Hal ini ditafsirkan juga oleh sabda Rasulullah SAW:
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ. لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ. حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ.
“Sentiasa ada dalam kalangan umatku kumpulan yang zahir (terbuka) menegakkan kebenaran (Islam), mereka tidak boleh dimudaratkan oleh kalangan yang mengecewakan mereka, sehingga datangnya penentuan Allah (memenangkan mereka) hingga Hari Kiamat, mereka masih dalam keadaan sedemikian.” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1920, daripada Thauban bin Bujdud RA]
Sabda Rasulullah SAW:
تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ.
“Ikutilah kumpulan Islam dan pemimpin mereka.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Fitan, no. 7084, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1847, daripada Huzaifah bin al-Yaman]
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ditubuhkan hasil muzakarah para ulama’ dan ilmuwan Islam setelah beberapa kali diharamkan oleh penjajah yang menentangnya. Ada juga yang bertopengkan penjajah dalam kalangan ulu al-amri dengan memperalatkan kalangan ulama’ pada zamannya.
Setiap parti atau kumpulan mempunyai perlembagaan atau undang-undang dasar masing-masing.
Perlembagaan PAS menegaskan bahawa hukum Islam adalah hukum tertinggi. Maka, segala urusan wajib dirujuk kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak para ulama’, serta qias (ijtihad).
Sila bandingkan perbezaan antara Perlembagaan PAS dengan parti yang lain, termasuk Parti Tindakan Demokratik (DAP) secara khusus yang disokong tanpa mengkaji perlembagaannya.
Saya menulis dengan merujuk Perlembagaan DAP, kenyataan serta ucapan pemimpinnya, bukan tuduhan kosong. Malangnya, ramai yang menulis sehingga berforum dan bermuzakarah dalam perkara nas yang nyata.
Apabila muncul seorang ulama’ al-Azhar, Ali Abdul Raziq, pada tahun 1925 yang mengarang kitab al-Islam wa Usul al-Hukm, bahawa politik adalah urusan dunia dan bukan daripada agama Islam. Lalu dia dibicarakan oleh Majlis Ulama’ al-Azhar, lalu dijatuhkan hukuman dengan ditarik ijazah-ijazah ulama’ dan dilucutkan jawatannya yang berkait dengan urusan agama.
Beberapa ulama’ tersohor mengarang kitab menolak fahaman yang sesat ini. Antaranya ialah Syeikh Mustafa Sabri, mantan Syeikh al-Islam Kerajaan ‘Uthmaniyyah; Muhammad al-Khidr Hussain, Rektor al-Azhar (Naqd Kitab al-Islam wa Usul al-Hukm); Muhammad Bakhit al-Muti‘i, Mufti Mesir (Haqiqah al-Islam wa Usul al-Hukm); Prof. Abd al-Razzaq al-Sanhuri, tokoh undang-undang terkenal (Fiqh al-Khilafah); Muhammad al-Tahir ibn ‘Asyur, tokoh ilmu maqasid al-syari‘ah (Naqd ‘Ilmiy li Kitab al-Islam wa Usul al-Hukm); dan lain-lain.
Termasuk Dr. Yusuf al-Qaradawi, yang saya lebih mengenalinya secara berdepan dan menjadi pembantunya selama beberapa tahun sehinggalah saya meletakkan jawatan demi memberi keutamaan kepada tugas-tugas dalam PAS. Malah, saya juga diberikan kepercayaan menulis kata alu-aluan untuk buku sejarah perjuangannya.
Maka, jangan disalahgunakan namanya. Beliau antara tokoh yang pernah terlibat dalam perang di Palestin. Di samping itu, beliau merupakan tokoh ulama’ politik Mesir yang berjuang dalam politik Islam, dihukum dalam buangan dan dilarang masuk ke beberapa negara kerana menjadi ahli Ikhwan al-Muslimin yang diharamkan dan dianggap oleh beberapa negara sebagai kalangan pelampau Islam. Beliau seorang yang menulis, bercakap dan berjuang. Bacalah semua buku dan fatwanya, jangan hanya dibaca secara tebuk-tebuk dan salah tafsir, sehingga menjadi pengkhianat ilmu Islam atau menulis dengan jahil murakkab. Firman Allah SWT:
وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسُۡٔولٗا ٣٦
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.” [Surah al-Isra’: 36]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 17 Rabi‘ al-Awwal 1448 / 30 Ogos 2026
[Bil: 54 / 2026]





























