‘Warga Cakna’ Teruskan Misi Qurban Dan Aqiqah Di Afrika, Filipina

194

KUALA TERENGGANU – Persatuan Prihatin Warga Terpinggir (Warga Cakna) meneruskan misi kemanusiaan antarabangsa menerusi Program Qurban dan Aqiqah 2026/1447H yang kini memasuki tahun ke-9 penganjurannya.

Pengerusinya, Dr. Suhazeli Abdullah berkata, program tersebut menyasarkan agihan daging korban kepada golongan asnaf dan komuniti terpinggir di Sudan, Kenya serta Basilan dan Mindanao

Menurut beliau, tahun ini pihaknya menyasarkan penyediaan sebanyak 150 ekor lembu dan 100 ekor kambing di luar negara, selain menerima sumbangan 10 ekor unta daripada rakyat Malaysia untuk diagihkan kepada penerima manfaat.

“Bagi memastikan amanah penyumbang dilaksanakan dengan telus, pasukan Warga Cakna sendiri akan turun padang ke Garissa, Kenya pada 24 Mei ini bagi memantau proses penyembelihan dan pengagihan daging secara terus,” katanya ketika ditemui semalam.

Selain ibadah qurban dan aqiqah, kata beliau, program tahun ini turut diperkasakan menerusi inisiatif “Program 3 dalam 1” yang merangkumi wakaf al-Quran serta bantuan “food pack’ kepada keluarga miskin.

“Antara pakej yang ditawarkan ialah satu bahagian lembu pada harga RM450 bagi Sudan dan Kenya,

“manakala RM490 bagi Mindanao. Kambing atau biri-biri pula ditawarkan pada harga RM550 seekor, sementara satu bahagian unta berharga RM690,” ujarnya.

Oleh itu, beliau menyeru orang ramai agar bersama-sama menyertai program korban dan aqiqah tersebut sebagai tanda solidariti kemanusiaan terhadap saudara Islam yang memerlukan.

“Orang ramai yang ingin menyertai program berkenaan boleh membuat pendaftaran melalui laman web rasmi Warga Cakna sebelum tarikh tutup pada 23 Mei 2026,” katanya.

Tambah beliau, setiap peserta turut akan menerima E-Book Fiqh Qurban secara percuma sebagai panduan ilmiah berkaitan ibadah korban.