KUALA TERENGGANU – Usaha memperkukuh penyatuan Melayu Islam di Malaysia tidak seharusnya dilabel sebagai politik perkauman atau tindakan menolak masyarakat lain, sebaliknya perlu dilihat realiti dalam pembentukan kekuatan politik dan kepimpinan negara.
Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Mohd Fauzi berkata, penyatuan itu tidak bermaksud mengetepikan hak masyarakat Cina, India, Sabah, Sarawak dan seluruh rakyat yang hidup dalam sebuah masyarakat majmuk.
Menurut beliau, kekuatan untuk memperkukuhkan identiti dan kepentingannya tidak semestinya bermakna kelompok tersebut membenci atau menolak kaum lain.
“Sayang bangsa sendiri tidak sama dengan membenci bangsa lain.
“bersatu bukan bermaksud menolak kaum lain, sebaliknya kita memperkukuhkan Melayu Islam dan pada masa yang sama terus menghormati serta menjaga hak masyarakat Cina, India, Sabah, Sarawak dan semua rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, beliau menjelaskan, Islam sendiri mengajar umatnya supaya menghormati perbezaan, hidup secara aman dan berlaku adil terhadap masyarakat yang berbeza latar belakang.
Tegasnya, Rasulullah SAW adalah contoh bagaimana kekuatan umat Islam dibina melalui penyatuan umat terlebih dahulu, sebelum membentuk sebuah masyarakat yang mampu hidup bersama dalam keadaan berbeza kaum dan latar belakang.
“Islam mengajar kita supaya menghormati orang lain, hidup dengan aman dan berlaku adil walaupun berbeza bangsa dan agama.
“Dalam konteks Malaysia, penyatuan Melayu Islam perlu diperkukuhkan, namun ia tidak boleh ditafsirkan sebagai penolakan terhadap masyarakat lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, parti-parti yang mempunyai sokongan besar dalam kalangan orang Melayu termasuk PAS dan UMNO perlu melihat kepentingan mencari titik persamaan dalam agenda penyatuan umat.
Katanya, kerjasama dan titik temu antara kelompok politik Melayu Islam termasuk dalam konteks gabungan seperti Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) wajar dilihat berdasarkan kepentingan lebih besar kepada kestabilan serta masa depan negara.
“PAS dan UMNO boleh menjadi antara tunjang kepada penyatuan, termasuk dalam mencari titik persamaan antara PN dan BN.
“Yang penting ialah kita melihat kepentingan bersama dan tidak menjadikan perbezaan sebagai alasan untuk terus berpecah,” katanya.
Tambah beliau, sokongan besar masyarakat Melayu kepada BN atau PN juga tidak wajar secara automatik dilabel sebagai “politik perkauman”.
Sebaliknya kecenderungan sesuatu kelompok untuk memilih kepimpinan yang diyakini menurut beliau mampu membawa aspirasi mereka merupakan sebahagian daripada realiti politik dalam sebuah negara demokrasi.
“Apabila BN atau PN mendapat sokongan besar orang Melayu, jangan terus cop sebagai politik perkauman.
“Sayang bangsa sendiri tidak sama dengan membenci bangsa lain. Apa yang penting ialah hak semua rakyat terus dihormati dan keadilan diberikan tanpa mengira kaum serta agama,” katanya.
Beliau turut menegaskan, prinsip penyatuan yang perlu dibawa ialah Melayu Islam kekal sebagai satu teras kepimpinan negara, manakala masyarakat majmuk terus dihormati dan prinsip keadilan ditegakkan kepada semua.
Katanya, kekuatan Melayu Islam tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman kepada masyarakat lain, bahkan kestabilan sesebuah negara memerlukan setiap kelompok masyarakat memahami kedudukan dan peranan masing-masing.
“Melayu Islam kuat, masyarakat majmuk dihormati dan Malaysia kekal aman,” katanya.





























