Oleh : Akhimullah Azis/ Foto : Media Jabatan Amal Marang
HULU TERENGGANU – Jabatan Amal memperkukuhkan kesiapsiagaan, meneruskan tradisi perkhemahan.dengan pengisian yang menekankan aspek ketahanan fizikal, kepimpinan, ukhuwah dan kekuatan rohani.
Ketua Komandan program Jabatan Amal Marang, Amirul Mizan Ali berkata program berkenaan dirangka bagi membentuk anggota yang bukan sahaja mempunyai keupayaan fizikal dan kemahiran melaksanakan tugasan, malah memiliki kekuatan iman serta jati diri yang kukuh.
“Gabungan latihan fizikal dan pengisian rohani penting bagi membentuk petugas yang bukan sahaja bersedia dari sudut luaran, malah memiliki kekuatan iman, ilmu dan jiwa dalam melaksanakan setiap tugasan,” katanya.
Amirul Mizan berkata demikian ketika ditemui di tapak program di Taman Rekreasi Belukar Bukit, Kuala Berang di sini mengulas perkhemahan yang berlangsung selama dua hari pada 7 dan 8 Ogos itu
Perkhemahan tersebut telah berjaya mengumpulkan seramai 40 anggota Jabatan Amal Kawasan Marang.


Menurut beliau, setiap tenaga yang dicurahkan kepada masyarakat tidak seharusnya hanya bergantung kepada kemahiran, sebaliknya perlu dipandu oleh kefahaman yang jelas mengenai tujuan dan nilai khidmat tersebut.
“Keseimbangan antara keupayaan bertindak dan kekuatan dalaman amat penting bagi memastikan anggota sentiasa bersedia menghadapi pelbagai situasi ketika menjalankan tugasan di lapangan.
“Kita mahu melahirkan anggota yang bukan sahaja cekap bertindak, tetapi mempunyai kekuatan dalaman, disiplin dan semangat kebersamaan yang tinggi,” katanya.
Majlis penutupan program disempurnakan oleh Timbalan Pengarah 1 Jabatan Amal Malaysia Negeri Terengganu, Wan Mohammad Izzuddin Wan Hamzah dan turut dihadiri Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang, Ustaz Yusuf Abdul Hadi.






























