RCI Tabung Haji; Tindakan Pembangkang Keluar Dewan Wajar

28

Tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat ketika membahaskan isu berkaitan RCI Tabung Haji mencetuskan perdebatan mengenai batas protes politik dalam sistem demokrasi berparlimen.

Namun begitu, tindakan itu adalah wajar apabila dilihat sebagai satu bentuk protes politik apabila pembangkang merasakan persoalan penting berkaitan kepentingan pendeposit tidak mendapat perhatian atau penjelasan yang memadai.

Tabung Haji bukan sekadar sebuah institusi kewangan biasa, mempunyai hubungan langsung dengan kepentingan jutaan pendeposit Islam yang menyimpan wang bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

Justeru, sebarang persoalan berkaitan pengurusan, pelaburan, aset dan tadbir urus Tabung Haji mempunyai nilai kepentingan awam yang besar.

Hak Pembangkang Menyatakan Bantahan

Dalam sistem demokrasi, pembangkang mempunyai tanggungjawab untuk menjadi mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan.

Mereka bukan sekadar bertugas mengkritik, tetapi juga membawa persoalan yang dirasakan penting kepada perhatian rakyat.

Jika sesuatu isu dianggap tidak dijawab dengan memuaskan, keluar Dewan boleh menjadi satu bentuk demonstrasi politik untuk menunjukkan bahawa pembangkang tidak bersetuju dengan proses atau keputusan yang sedang berlangsung.

Tindakan itu juga boleh menarik perhatian masyarakat terhadap sesuatu isu yang mungkin tidak mendapat liputan mencukupi jika perbahasan berlangsung seperti biasa.

Sekadar Sesi Penerangan Menteri

Tindakan keluar dewan oleh blok pembangkang semasa Sidang Khas Dewan Rakyat berkenaan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) berpunca daripada dua protes utama: ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta status sidang yang diturunkan taraf (downgrade) menjadi sekadar sesi penerangan menteri.

Gabungan hujah daripada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, merumuskan pendirian rasmi blok pembangkang terhadap kontroversi parlimen tersebut.

Isu Utama Protes Pembangkang di Sidang Khas RCI Tabung HajiSidang Khas Dewan Rakyat bertukar kecoh apabila majoriti Ahli Parlimen pembangkang daripada PAS dan BERSATU bertindak keluar dewan secara berkumpulan.

Langkah memboikot ini diambil selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menolak usul pembangkang untuk menangguhkan sidang tersebut.Dua pemimpin utama pembangkang, Takiyuddin Hassan dan Hamzah Zainuddin, tampil memperincikan asas bantahan mereka melalui sidang media khas di bangunan Parlimen.

Ketiadaan Perdana Menteri Sebagai Pemanggil Sidang

Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa Anwar Ibrahim sepatutnya hadir secara fizikal kerana beliau merupakan individu yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 11(3) untuk memanggil sidang khas berkenaan.

Pembangkang sebelum ini telah menghantar surat rasmi memohon penangguhan sidang kerana dimaklumkan Perdana Menteri sedang bercuti sakit selepas menjalani pembedahan laparoskopi elektif.

“Oleh kerana Perdana Menteri yang panggil untuk RCI TH dibentang di sini, kami merasakan tidak wajar sekiranya beliau tidak hadir. Beliau perlu ada untuk mendengar perbahasan, menjawab isu, dan melakukan penggulungan,” kata Takiyuddin.

Beliau turut menyamakan situasi tersebut dengan prosiding mahkamah, di mana sesuatu kes boleh dibatalkan jika pemohon (plaintif) gagal menghadirkan diri.

Status Sidang ‘Diturunkan Taraf’ dan Tiada Undian

Satu lagi hujah berat yang dikongsi oleh kedua-dua pemimpin adalah kekecewaan mereka terhadap format persidangan.

Tidak seperti proses RCI sebelum ini yang melibatkan usul perbahasan penuh dan pengundian ketetapan oleh Ahli Parlimen, sidang kali ini diturunkan taraf menjadi sesi penerangan sehala oleh menteri.

Hamzah Zainuddin mempersoalkan keperluan membazir masa mengadakan sidang parlimen khas jika impaknya sama seperti taklimat biasa.

“Bila kita kata mahu bahas dalam dewan, akhirnya hanyalah penerangan menteri serta tidak ada keputusan (undian) yang diambil. Perkara seperti ini kita boleh buat melalui sidang akhbar, kenyataan bertulis, atau hantar surat sahaja. Jadi, tidak perlu buang masa,” tegas Hamzah.

Motif Politik dan Isu ‘Kesegeraan’

Hamzah turut membangkitkan persoalan mengenai motif di sebalik tindakan tergesa-gesa kerajaan mengadakan sidang tersebut ketika Perdana Menteri tidak sihat.

Beliau mendedahkan bahawa syor dan penemuan RCI tersebut sebenarnya sudah disiapkan sejak tiga tahun yang lalu.

Pembangkang melihat penentuan masa (timing) pembentangan ini seolah-olah dirancang atas sebab politik.

Tambah Hamzah, sekiranya benar-benar wujud kehilangan dana besar atau amalan ‘sakau’ seperti yang sering dituduh oleh pihak kerajaan, tindakan undang-undang tegas sepatutnya sudah diambil oleh agensi penguat kuasa sejak awal lagi.

Takiyuddin juga menyelar tindakan Perdana Menteri yang didakwa telah mendedahkan kandungan laporan RCI tersebut lebih awal dalam siri kempen pilihan raya di Negeri Sembilan, sebelum ia dibentangkan secara rasmi kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Anwar Pengan Utama

Tindakan pembangkang keluar Dewan boleh dianggap wajar sebagai satu bentuk protes politik, terutama apabila ia bertujuan menegaskan persoalan kepentingan awam.

Dalam isu Tabung Haji, rakyat tidak mahu melihat institusi yang berkait rapat dengan ibadah umat Islam dijadikan gelanggang pertelingkahan politik tanpa penghujung.
Rakyat mahu satu perkara yang lebih asas: jawapan yang jelas, siasatan yang telus dan pengurusan Tabung Haji yang benar-benar melindungi kepentingan pendeposit.

Tindakan keluar dewan oleh blok pembangkang merupakan isyarat protes tegas bahawa Parlimen tidak sepatutnya dijadikan pentas penerangan sehala tanpa ketetapan undang-undang.

Bagi pihak pembangkang, ketiadaan “pengantin utama” (Perdana Menteri) dan ketiadaan ruang untuk pengundian konkrit menjadikan Sidang Khas RCI Tabung Haji ini hilang fungsi semestinya.