Ziarah Berterusan

2200

Oleh : Azizah Mahmood

KUALA TERENGGANU – Tradisi ziarah dan menyantuni rakyat di teruskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam walaupun dalam kesibukkan sebagai seorang Exco kerajaan negeri

Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beliau sangat menghargai mandat yang diberikan oleh rakyat dan berkhidmat dengan penuh amanah.

“pengundi N013 (Wakaf Mempelam) yang membantu kemenangan saya, jadi amatlah tidak munasabah jika saya mengabaikan mereka,” ujar beliau yang ditemui ketika mengunjungi beberapa orang rakyat yang uzur dan sakit di Kampung Durian Burung .

Menurutnya, in shaa Allah, beliau dan isteri sentiasa turun ziarah sekiranya ada di kalangan pengundi yang sakit atau meninggal dunia.

Kata beliau, isterinya Dr Fadzillah Ismail juga turut membantu menggalas tugasan ziarah ini dan sempat bersama beberapa orang jemaah haji muslimat yang akan bertolak ke tanah suci.

“Alhamdulillah , saya dapat bersama membantu untuk turun menziarahi mereka yang sakit dan bulan ini tumpuan kita pada bakal-bakal haji,

“mudah-mudahan mereka mendapat haji yang mabrur,” ujar beliau ketika bersama dengan bakal haji di Kg Losong Atap Zing dan Durian Burong, semalam Jumaat, 20 Julai.

Sehubungan itu, seorang pesara guru yang disantuni berkata,” saya berasa terharu atas kunjungan ini dan amat berterima kasih semoga ziarah ini akan mendekatkan YB dan isteri dengan rakyat,” ujar Cikgu Nor Afdzan Abdullah, yang akan berangkat ke Tanah suci bersama suami dan dua orang anaknya.

Sebanyak lima buah rumah bakal haji dan dua buah rumah mereka yang uzur, disantuni dengan diiringi sama oleh Ketua Kebajikan DUN Haji Mansur Abd Rahman.