PORT DICKSON – Kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kepimpinan yang benar-benar mendengar suara rakyat menjadi antara harapan utama pengundi di Negeri Sembilan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN),
Bendahari PAS Kuala Nerus, Haji Zaharudin Zahid berkata, perkara itu dapat dilihat sepanjang beliau membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN), Ustaz Fatah Zakaria di kerusi N31 Bagan Pinang, apabila rata-rata pengundi menyuarakan hasrat untuk melihat sebuah negeri yang lebih stabil dan sejahtera.
“Sepanjang saya turun membantu kempen Ustaz Fatah di Negeri Sembilan, khususnya di DUN Bagan Pinang, saya melihat sendiri sambutan yang amat positif daripada rakyat.
“Di mana-mana saya bertemu pengundi, mesej yang mereka sampaikan hampir sama. Mereka dahagakan sebuah negeri yang stabil, aman dan sejahtera. Mereka mahu kepimpinan yang mampu menjamin kemajuan ekonomi di samping benar-benar mendengar serta membela suara rakyat,” jelasnya dalam laman sosial.


Menurut beliau, sentimen tersebut menggambarkan rakyat kini lebih cenderung menilai kemampuan sesebuah kepimpinan berdasarkan keupayaannya membawa kestabilan dan menyelesaikan isu yang dihadapi masyarakat.
Katanya, suasana kempen yang berlangsung turut memberi keyakinan bahawa sokongan rakyat mampu membuka lembaran baharu kepada Negeri Sembilan sekiranya diterjemahkan melalui undi pada hari pengundian.
“Satu demi satu lembaran baharu sedang tercipta di bumi yang kaya dengan adat dan warisan ini. Insya-Allah, dengan kesatuan hati dan sokongan rakyat, kita mampu membina masa depan yang lebih baik untuk Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau turut menggesa para pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada 1 Ogos dengan memberikan sokongan kepada calon PN, Ustaz Fatah Zakaria, di kerusi N31 Bagan Pinang.




























