KUALA TERENGGANU – Dewan Ulama PAS Terengganu akan memperhebat usaha dakwah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat Islam terhadap kepentingan politik sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mempertahankan agama dan bangsa.
Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr. Wan Mat Sulaiman berkata, masyarakat Islam perlu memahami bahawa mengambil cakna terhadap politik merupakan antara usaha mempertahankan Islam dan bangsa Melayu dalam sistem demokrasi di Malaysia.
Menurut beliau, Dewan Ulama akan terus memperkasakan gerak kerja dakwah di semua peringkat bagi memastikan kefahaman tersebut dapat disampaikan secara lebih meluas kepada masyarakat.
“Meningkatkan usaha dakwah dengan banyak memberi kesedaran kepada masyarakat Islam tentang penting mengambil cakna terhadap politik, kerana ianya salah cara kita mempertahan Islam dan bangsa Melayu dalam negara demokrasi seperti Malaysia,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu, katanya, Dewan Ulama turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuhkan organisasi melalui penambahan keahlian di peringkat kawasan bagi memperkasakan peranan ulama dalam masyarakat.


Beliau berkata, seluruh kepimpinan dan ahli juga perlu meningkatkan komitmen serta sentiasa bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya tahun hadapan.
Dalam masa sama, Dr. Wan Mat menyeru ahli Dewan Ulamak memperkukuhkan jati diri dengan menambah ilmu dan meneladani perjuangan para sahabat Rasulullah SAW sebagai panduan dalam melaksanakan amanah dakwah dan kepimpinan.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperluaskan peranan ulama dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu, khususnya bagi menyemarakkan pelaksanaan syariat Islam serta memperkukuhkan budaya hidup bersyariat dalam kalangan masyarakat.
“Meningkatkan peranan ulamak dalam pentadbiran kerajaan Terengganu terutama dalam usaha menyemarakan usha pelaksanaan syariat dan memperkuatkan kehidupan bersyariat dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.






























