27 Muslimat Pelajari Kaedah Rakan Niaga Digital

24

Oleh : Nur Amira Amijuddin

BESUT – Seramai 27 peserta Muslimat mempelajari asas kaedah Rakan Niaga Digital (TikTok Affiliate), membina keyakinan di hadapan kamera dalam menghasilkan kandungan kreatif dan memahami potensi ekonomi atas talian.

Ketua Dewan Muslimat PAS Besut, Ustazah Fadilah Syed Hamid berkata, penganjuran bengkel tersebut amat bertepatan dengan keperluan semasa dan membuka ruang menimba ilmu perniagaan.

“Kita berharap lebih ramai muslimat berani meneroka peluang dalam ekonomi digital secara beretika dan berintegriti.

“lmu yang diperoleh melalui bengkel ini bukan sahaja dapat dimanfaatkan untuk menjana pendapatan, malah boleh digunakan sebagai medium menyebarkan maklumat serta nilai-nilai yang baik kepada masyarakat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi mengulas program anjuran Lajnah Ekonomi Dewan Muslimat PAS Kawasan itu, yang diadakan pada minggu lalu.

Menurutnya, bengkel tersebut adalah Satu inisiatif memperkasa kemahiran pemasaran digital dalam kalangan Muslimat

Katanya, bengkel yang dikendalikan oleh pencipta kandungan digital Puan Nor Lezan Arsat telah memberikan pendedahan menyeluruh mengenai dunia perniagaan Maya.

“Peserta didedahkan dengan teknik menghasilkan kandungan yang menarik, strategi pemasaran digital serta panduan praktikal untuk memanfaatkan platform atas talian secara lebih berkesan

“Selain itu, peserta turut diberi bimbingan digital sebagai sumber pendapatan masa kini.” tambah beliau.

Justeru beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan bengkel tersebut, dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“bagi melahirkan lebih ramai muslimat yang celik digital dan berdaya saing serta berjaya membuka ruang pembelajaran yang bermanfaat kepada para peserta,

“sekali gus meningkatkan kefahaman mereka terhadap peluang yang tersedia dalam bidang pemasaran digital.” katanya lagi.