Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Kejerihan, kepenatan dan seribu satu kepayahan bertukar menjadi biasan pelangi yang Indah malam ini. Tenggelam dalam kesyahduan takbir dan istighfar. Juga sorak sorai anak anak muda penuh keterujaan seperti suntikan ubat tahan sakit. Aroma kemenangan telah kami hidu sejak jam lima petang. Petugas petugas bilik operasi Bagan Pinang bercanda riang dengan guratan wajah ceria. Beberapa anggota legislatif PAS membaca unjuran serta membandingkan dengan pilihanraya sebelum itu. ” Mungkin kali ini lebih baik prestasi kita” tukas YB Dr Din, Pengarah Pilihanraya DPPM.
Setelah dua minggu kempen yang padat dengan beragam ujian serta tekanan ,baik daripada kerajaan Persekutuan dan negeri. Para asatizah PAS berehat seketika daripada berkuliah dan berkhutbah di seluruh negeri. Markas serta Bilik Operasi bertukar menjadi ruang kuliah, taujihat pimpinan, dapur BO bertukar cafe dengan pelbagai menu dan tempat melepaskan lelah berkempen. Ukhuwwah ahli ahli jamaah Islam semahal tempayan emas. Tiada harkat sosial yang menjadi batu sempadan, daripada kuli kasar sehingga pensyarah Universiti ,menyulam ukhuwwah dalam jemaah yang berkarektor ” mass movement” ini.
Jentera PN/ PAS sangat luarbiasa gerakerja pilihanraya mereka, malah ada muslimah yang sebulan berkampong di negeri adat ini dan sebelum itu di PRN Johor. Pasukan bantu negeri dan kawasan saling bahu membahu dengan petugas tempatan. Ulama memimpin munajat dan solat hajat mengiringi kerja keras kempen. Malah kesepaduan gerakerja akar umbi jentera BNPN secara optik menyumbang kepada kemenangan bergaya majoriti dua pertiga konfigurasi PNBN di Negeri Sembilan . Tanpa upah dan tandajasa, malah mereka memberi rezeki apa yang mereka ada. Parti tin milo hina avatar kerajaan PH kepada amilin jamaah ini.
PRN Negeri Sembilan adalah seperti referendum rakyat. Penolakan itu jelas tak berbasa basi. Dibalik tirai yang berlapis, samada suka atau tidak, orang Melayu perlu berterima kasih kepada sosok utama yang konsisten bercakap tentang perpaduan ummah walaupun maruahnya diterjah dengan kecaman dan sejuta penghinaan. Figura berjasa gerakan Islam itu dengan pengiktirafan dunia adalah pelakar utama strategi Penyatuan Ummah . Bara cetusan Presiden PAS itu mendidih dalam salju dingin yang akhirnya meledak menjadi letusan besar volkano kebangkitan ummah di Negeri tanah adat itu.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tak berselindung dengan gagasan besar itu. Ini adalah ” roadmap kemenangan”, bukan fatamorgana namun hasil yang akan dituai jika kita melengsekan sedikit ego kita. Orang Melayu dan muslim sudah tak mampu berpecah dan berpencar pencar dalam navigasi politik. Bagi mantan Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Pengerusi Kesatuan Ulama Dunia Islam itu ” Politik melangkaui sempadan parti dengan mengutamakan Islam dan majoriti kaum Melayu sebagai teras utama tanpa mengabaikan kaum lain” ungkap maestro gerakan politico Islam itu setiap kali menegaskan PAS Umno wajib menoktahkan persefahaman dalam artikulasi politik negara ini. Sebanjaran pengalaman Tuan Guru sejak dekad 60an dalam dunia politik dakwah sangat piawai, beliau dirujuk oleh pelbagai gerakan Islam dunia seperti Ikhwanul Muslimin, Jamiat Islami, an Nahdhoh Tunisia dan sebagainya.
Lontaran idea Tuan Guru Presiden PAS kali ini, digeger pula dengan wejangan Pengarah Pilihanaya PAS Pusat, DS Sanusi terkait isu sejarah dan geografi umat Melayu. Tak semena mena anak muda Melayu kembali merengkuh buku sejarah tanah leluhur ini. Ucapan Menteri Besar kedah itu cuba diputar belit oleh pemimpin Pakatan Harapan dengan harapan orang bukan Melayu menjauhi Perikatan Nasional. Segalanya tak menjadi sehingga pemimpin PH terpaksa mengadakan video akan penegasan jatidiri mereka sebagai Melayu Islam. Ironinya , netizen mentertawakan ” usaha gigih” calon calon Pan, PKR , Dap itu. Segalanya telah terlambat untuk mendakap kembali sokongan orang Melayu . Mereka memunculkan naratif berkait intergriti termasuk RCI Tabung Haji yang menimbulkan pula pelbagai tanda tanya kepada usaha menyulitkan Umno dipenghujung kempen PRN. Nada Anwar pula semakin lunak dan bersahabat berbanding PRN Johor namun kosa kata sakau,sakau ,sakau tetap diratib tanpa jemu.
Pencitraan Melayu Islam kepada calon calon PH tidak menjadi. Tampang wajah politik pragmatism Anwar juga kelihatan hodoh tak bergincu. Berjoget untuk memarik undi kaum India dan majlis berselawat untuk menarik undi Melayu sudah tak mampu memicu pesona pengundi. Cuplikan video lama membangangkan anggota keselamatan seperti duri yang menyucuk nurani para perwira negara. Calon PAS PN Bagan Pinang, Ustaz Fatah melonjak ke syiling bagi undi awal yang sebahagian besarnya adalah anggota keselamatan negara!.
Pemimpin pemuda PAS dan Umno secara optik menzahirkan keserasian berkempen. Berkonvoi motorsikal , menggagau ikan di bendang, mengadakan pentas ceramah anak muda bahkan dihadiri oleh daie sejuta ummah , Ustaz Azhar Idrus. Impaknya di kawasan perdesaan seperi Serting , Lenggeng, klawang dan lain lain konstitusi luar bandar, jentera PAS Umno menggeledah segenap pelusuk kampong yang membawa kemenangan besar kepada Ustaz Fairuz Isa, serta calon calon BNPN.
Seperti dijangka juga oleh pengkaji serta penganalisa politik, parti BERSATU akan menggalang kegagalan tak tertanggung. 23 calonnya hangus wang deposit , malah dilihat menuju jalan mati politik seperti parti -parti serpihan lain dalam sejarah Malaysia. Watak BERSATU yang bergantung kepada karisma seorang pemimpin mengulangi sejarah parti IMP ( Independent Malayan Party ), Parti Negara, NASMA, HAMIM, AKIM, Semangat 46 dan sebagainya. Tak pelik kerana jentera PAS PN berkeringat untuk memenangkan calon PN tetapi BERSATU memilih untuk berseteru dan membalun PAS setiap hari tanpa lelah!.
Dalam ucapan penghargaan kepada seluruh jentera PAS/ PN di dewan KOMPAS Negeri Sembilan, Tuan Guru berulang kali melafazkan rasa syukur kepada Allah atas kurniaan kemenangan terindah ini . Calon PAS/ PN di Paroi , Haji Kamarul Ridzuan memenangi majoriti besar 16 959 , manakala Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan ,Ustaz Fairuz Mohd Isa memenangi majoriti 12, 115 undi. Calon Bagan Pinang yang dibantu oleh jentera PAS Terengganu , Ustaz Abdul Fatah Zakaria telah menang bergaya dengan majoriti 10,137 undi dan calon PAS /PN bagi DUN Ampangan, Dato’ Dr Rafie Abdul Malek menang majoriti 3969 undi. Bagi Tuan Guru, kemenangan Negeri Sembilan akan mencorakkan kemenangan besar untuk PRU 16 bagi negara tercinta ini.
Rakyat Negeri Sembilan telah memilih serta melakar sejarah . Pengundi tanah adat ini bukannya buta huruf untuk menghukum mereka telah dibius dengan doktrin perkauman sebagaimana sidang media Pakatan Harapan malam tadi. Ianya refleksi kepada kegagalan Anwar menakhoda tanah watan ini, Tok Min dilihat gagal mengendalikan Dap dalam campur tangan pentadbiran. Pan pula sebagai entiti kelab penyokong Dap dilihat gagal menyerlah samada diperingkat Persekutuan atau negeri. Tali hayat Pan ialah pengundi bukan Melayu yang sekali gus penyokong Dap. Telanlah hakikat pahit ini.
PKR diramalkan akan kembali berpencak dijalanraya serta menjadi pembangkang yang paling piawai pasca PRU 16 nanti. Kudos kepada pakar strategis PN,Tuan Guru Presiden PAS yang telah berjaya menghasilkan formula gred A plus kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan , tumbangkan tokoh besar Dap dan PKR serta meranapkan kubu kuat kedua mereka di negara ini. Tahniah Ir Dr Ahmad Samsuri yang tetap tenang mengepalai pasukan PERIKATAN NASIONAL. Apa Khabar negeri Selangor, jika konfigurasi PNBN juga ditatahias seperti PRN Negeri Sembilan?.
( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI )


























