Kerjasama Politik Faktor Kemenangan PRN Negeri Sembilan

19
Ustaz Zul Bhari Ab Rahman

KUALA TERENGGANU – Kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 membuktikan bahawa pengundi kini lebih terbuka menerima pendekatan kerjasama politik yang mampu menawarkan perubahan dan kestabilan pentadbiran.

Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Ustaz Zul Bhari Ab Rahman berkata, keputusan PRN itu menunjukkan kehendak pengundi tidak lagi bersifat statik.

“Sebaliknya dipengaruhi oleh faktor kerjasama antara parti, calon yang ditampilkan serta pengolahan isu yang dekat dengan rakyat,” jelasnya.

Menurut beliau, penerimaan pengundi terhadap pendekatan tersebut telah berjaya mengubah corak sokongan dalam pilihan raya berkenaan.

“Kemenangan telah dicapai. Cabaran seterusnya ialah membuktikan bahawa kerjasama yang terjalin mampu menghasilkan pentadbiran yang berkesan, stabil dan memberi manfaat kepada rakyat, insya-Allah,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas kemenangan yang diraih serta berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada perubahan sikap pengundi di seluruh negara.

Katanya, strategi kerjasama politik yang mengutamakan kestabilan diyakini mampu memenuhi aspirasi masyarakat yang mahukan sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan berupaya membawa kemajuan kepada negara.

“Alhamdulillah, Mudah-mudahan kemenangan ini mampu mengubah sikap pengundi di seluruh negara dengan pendekatan strategi kerjasama politik yang menjadi tuntutan masyarakat untuk melihat kestabilan terus kekal,” kata beliau.