Tiga Rukun Pra-Syarat Bajet Berjaya – Presiden PAS

1212
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita11/TG%20Hadi%20bajet.jpg

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang berkata apabila bercakap soal bajet perlu difahami di sana ada tiga rukun bagi memastikan kejayaan, pelaksanaan serta kelancarannya.

Katanya, yang pertama adalah keperibadian manusia itu sendiri, yang kedua duit yang mencukupi dan yang ketiga pengurusan yang cekap dan amanah.

“Saya ambil yang kedua dulu iaitu duit, kerana peruntukan (bajet) yang begitu besar. Dalam duit ini jangan sangat kita (kerajaan) bergantung kepada ‘hutang’, sepatutnya kita bergantung kepada sumber hasil kita sendiri.

“Kami (PAS) sama-sama dengan kerajaan berjuang untuk dapat balik royalti Petroleum. Walau pun, kerajaan negeri telah menarik-balik saman yang dikemukakan. Ini adalah hak negeri yang wajib diminta.

“Kita (PAS-Umno) lupakan (kisah) dahulu…kerana sentimen politik sehingga kita (Umno) sanggup meminta supaya royalti ini dibatalkan. Dengan sebab sentimen politik mengatasi kepentingan negeri dan rakyat negeri ini.

“Kesilapan yang lalu, kita (PAS-Umno) lupakan, marilah kita sama-sama minta balik royalti ini. Satu sumber yang sangat besar di samping itu kita manfaatkan sumber-sumber yang telah sedia ada tanpa membebankan rakyat dengan kenaikan cukai,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian membahaskan Belanjawan Negeri Terengganu (Bajet) 2013 pada Mesyuarat Yang Ketiga Penggal Persidangan Yang Kelima Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-12, di Wisma Darul Iman, dekat sini, 12 Disember.

Rukun kedua, katanya, tentang keperibadian manusia yang akan melaksanakan pengurusan bajet yang besar tersebut.

“Manusia ini ada dua iaitu pelaksana (kerajaan) dan penerima (rakyat). Berlakunya kegagalan, kelambatan seperti runtuhnya (bumbung) stadium, runtuhnya masjid, runtuhnya beberapa projek, projek yang terbengkalai adalah kerana kegagalan manusia.

“Kita (kerajaan) gagal membangunkan manusia yang melaksanakan urusan ini. Islam meletakkan manusia yang mengendalikan urusan ini ialah yang beriman, berilmu dan berakhlak,” ujarnya.

Oleh kerana, kata Ustaz Abdul Hadi, manusia itu tidak ada iman, tidak ada akhlak dan kurangnya ilmu maka gagal dalam melaksanakan urusan tersebut.

“Kita (PAS) melihat bagaimana contohnya, kontraktor yang dijual-beli bukan berdasarkan kelayakan kontraktor itu. Kita (kerajaan) kena hati-hatilah dalam memberi projek kepada kontraktor untuk mengendalikan projek, jangan kerana sebab-sebab politik kita beri kepada dia, bukan dengan sebab kelayakan dia,” jelasnya.

Selain itu, Ustaz Abdul Hadi, turut membawa pepatah Cina yang mengatakan jika hendak menolang seseorang bukan dengan pemberian ‘ikan’ tetapi dengan memberi mata pancing.

“Kemudian, penerima (rakyat) yang kita (kerajaan) beri duit kepada petani, nelayan. Beri duit ini tidak boleh menyelesaikan masalah.

“Kita perlu menyedari di sana (projek) berlaku kegagalan seperti projek ternakan Kambing Kaprima, pertanian dan sebagainya.

“Petani menghadapi masalah kenaikan harga baja, kenaikan harga makanan ternakan haiwan. Mengapa tidak disubsidikan kepada baja dan makanan ternakan haiwan. Kita kena sedar hari ini kilang baja, kilang makanan ternakan haiwan tidak ada di Terengganu ini,” ujarnya.

Menurut Dato’ Seri Abdul Hadi, terdapat negeri yang memberi perhatian kepada strategi pemakanan seperti Jepun, Jerman, United Kindom dan Amerika dengan memberi subsidi kepada petani-petani serta kemudahannya.

Tambah beliau, Terengganu perlu meneroka dan mengusahakan agar kilang baja serta kilang makanan ternakan haiwan dibina di negeri ini.