Tidak Akan ‘Bernyawa’ Jika BN-PN Berkerjasama

26

KUALA TERENGGANU – DAP tidak akan “bernyawa” dalam politik negara sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bekerjasama dibawah panji Melayu-Islam.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Haji Amzad Hashim berkata, kenyataan Naib Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh yang menyifatkan kerjasama BN-PN umpama kapal Titanic yang sedang menunggu karam adalah tidak berasas dan menggambarkan kebimbangan DAP terhadap kemungkinan kerjasama tersebut.

“Setakat ini, rekod di mana-mana pun apabila Barisan Nasional dan Perikatan Nasional bergabung, DAP tidak akan dapat bernyawa,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau berkata, kerjasama BN-PN bukanlah seperti kapal Titanic yang bakal tenggelam, sebaliknya mampu menjadi kekuatan yang berupaya menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang.

“Saya rasa Hannah Yeoh sebenarnya takut. Dia tahu kerjasama BN-PN bukan menjadi Titanic. BN-PN akan jadi ‘titan’ yang akan mengkaramkan PH bila-bila masa,” katanya.

Sebelum ini dalam satu kenyataan akhbar, Timbalan Setiausaha DAP, Hannah Yeoh menyifatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) seperti kapal Titanic yang bakal karam kerana didakwa tidak berasaskan nilai politik persahabatan.

Beliau berkata kedua-dua gabungan itu hanya mementingkan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan tidak akan kekal lama kerana dibayangi pengkhianatan serta ketidaksetiaan.

Sebaliknya, Hannah menegaskan Pakatan Harapan kekal setia di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyeru pengundi memilih calon PH sebagai simbol mempertahankan politik persahabatan.