Pengurusan Kewangan, Keusahawanan Fokus Sis Ngopi Bersama Gen Z

29
Ustazah Fadhilah Syed Hamid bersama Ketua Ameerah Besut, Amnah Mohamed

BESUT – Pengurusan kewangan dan keusahawanan menjadi fokus utama Program Sis Ngopi bersama Gen Z Besut memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai kepentingan mengurus kewangan dengan bijak dan membina kerjaya melalui bidang perniagaan.

Program anjuran Ameerah Besut itu menghimpunkan anak muda dalam suasana santai dan interaktif bagi membolehkan mereka menimba ilmu, berkongsi pandangan serta membina jaringan bersama usahawan muda.

Ketua Ameerah Besut, Amnah Mohamad berkata, penganjuran Sis Ngopi merupakan salah satu inisiatif untuk mendekati golongan muda melalui pendekatan yang lebih santai, mesra dan dekat dengan jiwa Gen Z.


Pengasas Kimsue Suhada Sulaiman

“Program seumpama itu bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman, malah membuka ruang kepada anak muda membina keyakinan diri, memperluaskan jaringan serta memperoleh inspirasi daripada individu yang berjaya pada usia muda,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, slot perkongsian bertajuk “FOMO Mahal, Poket Murah!” telah disampaikan oleh pengasas Kimsue, Suhaida Sulaiman Soo yang berkongsi pengalaman membangunkan perniagaan makanan Korea-Jepun sehingga berkembang maju pada usia 25 tahun.

“Menekankan bahawa disiplin, kesungguhan dan pengurusan kewangan yang berhemah merupakan asas penting untuk mencapai kejayaan, selain mengingatkan golongan muda agar tidak mudah terikut-ikut dengan budaya perbelanjaan mengikut trend,” ujarnya.

Program itu turut dimeriahkan dengan sesi soal jawab yang menyaksikan peserta mengambil peluang mendapatkan pandangan secara langsung daripada usahawan muda berkenaan.

Turut hadir ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut, Ustazah Fadilah Syed Hamid, dan wakil Ameerah Negeri Terengganu, Puan Wafaa Ismail.

Sebagai penghargaan, setiap peserta menerima sekotak kimbap daripada Kimsue dan secawan kopi latte tajaan vendor Kopi Nan.

Program Sis Ngopi diharap dapat diteruskan sebagai platform memperkasa anak muda melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan motivasi, sekali gus melahirkan generasi yang lebih berdaya saing, celik kewangan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.