KUALA TERENGGANU – Kerjasama yang semakin erat antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan mampu memberi cabaran besar kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan pentadbiran negeri itu.
Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata, PH yang kini menjadi kerajaan negeri dijangka akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan kuasa sepanjang kempen PRN.
Menurut beliau, keadaan di Negeri Sembilan berbeza berbanding PRN Johor kerana PH berada dalam kedudukan sebagai penyandang kerajaan negeri.
“Saya yakin mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk mempertahankan Kerajaan Negeri Sembilan. Kerjasama PN dan BN melalui pembahagian kerusi yang tidak bertindih memberi cabaran besar kepada mereka,” katanya ketika ditemui media, semalam.
Beliau turut menyifatkan kerjasama antara jentera PN dan BN setakat ini berjalan dengan baik apabila kedua-dua pihak hadir bersama pada hari penamaan calon serta menganjurkan ceramah bersama di beberapa lokasi.
Sehubungan itu, Ariffin mengingatkan semua jentera supaya tidak leka atau terlalu yakin, sebaliknya terus memperkukuhkan gerak kerja sehingga hari pengundian.
“Kita tidak boleh terlalu yakin kerana PH ialah kerajaan negeri sebelum ini.
“Dengan kerjasama yang baik ini, peluang kita lebih cerah, namun semua jentera perlu terus bekerja mengikut perancangan yang telah ditetapkan,” katanya.





























