Kaum Dan Perkauman; Mengapa Melayu Islam Memimpin Di Malaysia

33

Ramai kalangan yang tidak memahami dan bingung pendekatan PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan kini Negeri Sembilan. PAS sedia hilang satu kerusi yang telah ada di Johor dan menolak kerusi yang ditawarkan. Namun begitu, ia berakhir dengan hilang semuanya dalam PRN Johor, setelah meletakkan calon yang kecil jumlahnya dan berkempen untuk Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi oleh Perikatan Nasional (PN).

Adapun untuk PRN Negeri Sembilan, PAS bersama PN mengadakan kerjasama yang intim secara terbuka dengan BN. Kerjasama ini dilakukan dengan membahagikan kerusi yang tidak berlawanan antara BN dengan PN. Alasannya ialah demi mempertahankan kepimpinan Melayu Islam.

Kedudukan UMNO yang mengepalai BN masih berada dalam keadaan yang kuat di Johor. Namun begitu, dilihat adanya kemungkinan, dalam sistem demokrasi yang tempang dan pilihan raya yang tidak seimbang yang ditangani oleh kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) yang tidak malu menggunakan jentera kerajaan, menandakan akan berlaku ancaman kepada Melayu Islam. Kemudian, ditambah pula dengan serangan Islamofobia di peringkat nasional dan antarabangsa yang memandang serong terhadap kebangkitan Islam.

Keadaan ini berbeza dengan Negeri Sembilan yang dirampas oleh PH dalam pilihan raya yang lalu, yang menyaksikan UMNO dan BN dalam keadaan yang tidak kuat. Maka, PAS wajib membantu setelah gagal mengambil alih kerajaan negeri melalui akuan berkanun (SD) walaupun sudah mencukupi 19 kerusi (14 UMNO, 5 PN) untuk menjatuhkan PH yang mempunyai 17 kerusi. Malangnya, dua ADUN BERSATU dalam gabungan PN berlaku khianat dan menarik sokongannya, menjadikan jumlah kerusi tidak mencukupi.

Demikianlah pentingnya kuasa Melayu Islam bagi menguasai Negeri Sembilan. Maka, PAS bertindak mengadakan perubahan dalam PN dengan menerima Parti Wawasan Negara yang merupakan pecahan daripada BERSATU dan lain-lain parti. Di samping itu, PAS terus mengadakan kerjasama dengan BN yang didominasi oleh UMNO iaitu parti Melayu Islam dan parti bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menangani Melayu yang berpecah.

Perbezaan antara Melayu Islam dengan Perkauman Melayu yang Perlu Dijelaskan

Kewujudan kaum atau bangsa ialah ciptaan Allah yang tidak boleh dihapuskan, menjadi dalil kekuasaan-Nya dan mengandungi hikmah penciptaan manusia yang ditugaskan untuk beribadat (memperhambakan diri) kepada Allah Pencipta alam. Pada masa yang sama, manusia ditugaskan menjadi khalifah (mentadbir) bagi memakmurkan bumi dan seisinya. Seterusnya, diberikan amanah yang menjadi kewajipan manusia untuk menguruskannya berdasarkan sifat kejadiannya yang berbeza daripada makhluk yang lain secara individu, berjasad, berakal, mempunyai aspek rohani, berkeluarga dan bermasyarakat.

Bagi melaksanakan tujuan penciptaannya, manusia tidak boleh hidup bersendirian, sebaliknya wajib berkeluarga dan bermasyarakat. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١

“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim (keluarga). Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” [Surah al-Nisa’: 1]

Kecintaan kepada diri dan keluarga mewajibkan adanya hubungan silaturahim, malah ia menjadi menjadi sifat terpuji yang diwajibkan. Adapun memutuskannya pula adalah dosa besar.

Firman Allah SWT:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ ٢١

“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” [Surah al-Rum: 21]

Keadaan ini mewujudkan sifat kasih sayang dalam keluarga, dan kewajipan untuk menjaga keselamatan ahli keluarga di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡهَا عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٞ شِدَادٞ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ ٦

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan!” [Surah al-Tahrim: 6]

Allah menetapkan hubungan manusia pelbagai bangsa dalam masyarakat yang besar. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]

Hal ini tidak berubah walaupun berlainan bangsa, bahasa dan warna kulit. Firman Allah SWT:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ ٢٢

“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi, serta berlainan bahasa dan warna kulitmu. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” [Surah al-Rum: 22]

Allah mewajibkan hubungan bermasyarakat dalam dunia yang luas. Pada masa yang sama, Allah juga mewajibkan berlaku adil kepada semua manusia, sehingga dijadikan amanah yang wajib ditunaikan oleh semua pihak, sepertimana firman-Nya:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak (layak) menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]

Maka, wajib berlaku adil kepada semua manusia daripada pelbagai bangsa dan agama. Adil itu bukan sahaja kepada semua dalam satu negara yang terdiri daripada rakyat masyarakat majmuk, bahkan termasuk musuh di medan perang. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]

Di samping itu, Islam juga mewajibkan memberi perlindungan kepada bukan Islam yang dizalimi di negara mereka, sepertimana perintah Allah SWT:

وَإِنۡ أَحَدٞ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ يَسۡمَعَ كَلَٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُۥۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡلَمُونَ ٦

“Dan jika seorang daripada orang-orang Musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah dia supaya dia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah dia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.” [Surah al-Tawbah: 6]

Maka, wajib diberikan perlindungan kepada pelarian bukan Islam dari negaranya yang zalim, kemudian diajak memeluk Islam tanpa paksaan. Sekiranya tidak memeluk Islam, dia mestilah diberi keamanan di tempat yang selamat, sama ada dalam negara Islam ataupun negara bukan Islam yang tidak zalim. Hal ini menunjukkan Islam mendahului piagam antarabangsa berkaitan layanan terhadap pelarian.

Perasaan sayang kepada keluarga dan bangsa adalah sifat fitrah manusia yang tidak boleh dihapuskan, tanpa mengambil kira manusia yang berada di luar tabiinya. Namun begitu, aqidah Islam wajib diutamakan lebih daripada bangsa dan keluarga. Firman Allah SWT:

لَّا تَجِدُ قَوۡمٗا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَوۡ كَانُوٓاْ ءَابَآءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَآءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَٰنَهُمۡ أَوۡ عَشِيرَتَهُمۡۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلۡإِيمَٰنَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٖ مِّنۡهُۖ وَيُدۡخِلُهُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ رَضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ أُوْلَـٰٓئِكَ حِزۡبُ ٱللَّهِۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٢٢

“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah reda terhadap mereka, dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung.” [Surah al-Mujadalah: 22]

Islam mengharamkan ‘asabiyyah (fanatik perkauman atau kebangsaan). Sabda Rasulullah SAW apabila ditanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ ‌يُحِبَّ ‌الرَّجُلُ ‌قَوْمَهُ؟

“Wahai Rasulullah, adakah ‘asabiyyah apabila seseorang itu kasih akan kaum bangsanya?”

قَالَ: لَا، وَلَكِنْ مِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُعِينَ الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْمِ.

Jawab Rasulullah, “Tidak, sebaliknya ‘asabiyyah itu apabila seseorang menolong kaum bangsanya melakukan kezaliman.” [Hadis riwayat Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Fitan, no. 3949 dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Shamiyyin, no. 17472, daripada Wathilah bin al-Asqa‘]

Keadaan ini bermaksud kebangsaan dijadikan aqidah yang disebut sebagai nasionalisme.

Sesungguhnya, kewajipan menegakkan keadilan mengatasi hubungan kekeluargaan dan kaum. Firman Allah SWT:

۞ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ١٣٥

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka, janganlah kamu mengikut hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Nisa’: 135]

Adapun pemimpin umat disyaratkan datang daripada kaum penganut Islam yang paling kuat kerana Rasulullah SAW bersabda:

‌الْأَئِمَّةُ ‌مِنْ ‌قُرَيْشٍ.

“Para pemimpin itu mestilah daripada Quraisy.” [Hadis riwayat al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Qada’, no. 5909 dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, no. 12307, daripada Anas bin Malik]

Allah memilih para rasul yang disokong oleh kaum, bangsa dan keluarga yang melindungi mereka bagi menghadapi golongan penentang. Maka, semua para rasul bermula dengan mencari pendukung daripada golongan yang paling asas, iaitu kaum mereka sendiri.

Firman Allah SWT:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بِ‍َٔايَٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٖ ٥

“Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. (4) Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya), ‘Keluarkanlah kaummu daripada gelap-gelita kepada cahaya terang-benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah.’ Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang yang penyabar dan banyak bersyukur. (5)” [Surah Ibrahim: 4-5]

Firman Allah kepada Rasulullah SAW:

وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ ٢١٤

“Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat.” [Surah al-Syu‘ara’: 214]

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, para sahabat berhimpun bagi memilih khalifah (ketua negara). Tiga calon yang dicadangkan, iaitu:

1. Kaum Ansar (asal Madinah) mencadangkan Sa‘ad bin ‘Ubadah RA.
2. Keluarga Rasulullah SAW mencadangkan untuk melantik ‘Ali bin Abi Talib KW.
3. Kalangan Muhajirin (asal Makkah) mencadangkan Abu Bakar RA.

Apabila disebut pesanan Rasulullah SAW supaya pemimpin dipilih daripada kalangan Quraisy, maka Abu Bakar RA dilantik menjadi khalifah. Hal ini demikian kerana, adanya kelayakan iman, ilmu, dan akhlak pada Quraisy.

Para ulama’ fiqh politik Islam mentafsirkan maksud Quraisy dengan kaum Islam yang terkuat dan besar pengaruhnya.

Maka, perbincangan mengenai calon khalifah terawal membuahkan mazhab Fiqh Siasah Islamiyyah, iaitu:

1. Pendapat Muhajirin bahawa pemimpin daripada kaum yang kuat menjadi pegangan Ahli Sunnah.
2. Pendapat mencalonkan keluarga Rasulullah SAW menjadi pegangan mazhab Syiah.
3. Pendapat Ansar supaya mencadangkan seorang Muslim tanpa mengira kedudukan bangsa menjadi mazhab Khawarij.

Firman Allah menerangkan bahawa penentuan kaum dan bangsa Islam yang terkuat adalah mengikut keadaan semasa dan tempat, tidak semestinya kaum Quraisy. Hal ini demikian kerana, Allah SWT berfirman kepada generasi awal Islam daripada kalangan bangsa Arab dan semua kaum selepasnya:

هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka, antara kamu ada yang kikir, dan sesiapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah jua Yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]

Sejarah Islam membuktikan berlakunya pertukaran pemimpin daripada pelbagai bangsa yang menganut Islam yang kuat dan besar pengaruhnya. Antaranya, Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah, Kerajaan Ayubiyyah yang berbangsa Kurdi, Kerajaan Islam Moghul di India, dan Kerajaan Melayu Islam di Nusantara Alam Melayu.

Penduduk majoriti bukan Islam menerima kepimpinan Islam kerana Islam datang sebagai penyelamat, bukan sebagai penjajah.

Terdapat juga catatan sejarah yang mendakwa pengasas Dinasti Ming, Maharaja Hongwu (Zhu Yuanzhang), sangat menghormati Islam dan pernah menulis sebuah puisi (dikenali sebagai Bai Zan) yang mengandungi 100 kalimah memuji Nabi Muhammad SAW. Di bawah naungan maharaja-maharaja Dinasti Ming, ramai pegawai tentera beragama Islam, dan ibu kota Nanjing turut menjadi pusat pembelajaran Islam yang penting.

Maka, Malaysia kini harus mewajibkan pemimpin daripada kalangan Melayu Islam yang terdiri daripada pelbagai rumpun.

Islam disyaratkan memimpin negara kerana hanya Islam sahaja yang menjadikan kedudukan politik sebagai sebahagian daripada agama (al-din). Hal ini berbeza dengan agama dan ideologi lain yang memisahkan politik daripada agama.

Islam berteraskan aqidah beriman kepada Allah dan mempercayai adanya balasan pada Hari Akhirat, serta menjamin keadilan kepada semua. Apabila urusan kepimpinan negara mempunyai kaitan dengan ibadat dan akibatnya pada Hari Akhirat, maka berlakulah sepertimana firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa, (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 40-41]

Tegasnya, negara bersifat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama disyaratkan mempunyai kepimpinan yang beribadat, bersifat adil (tidak fasiq), berkebajikan dan berada di bawah perlembagaan yang dikawal oleh Ulu al-Amr daripada para ulama’ dan pemimpin masyarakat.

Rasulullah SAW mengekalkan semua raja yang memeluk Islam bagi memimpin negara berkonsepkan pengaruh dan perlembagaan yang mengawal aqidah negara.

Firman Allah SWT:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡ‍ٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan-Ku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Nur: 55]

Antara inti pati janji Allah:

1. Istikhlaf (Kuasa Memimpin): Allah berjanji memberi kuasa mentadbir dan memimpin bumi kepada penganut Islam.
2. Tamkin (Agama Diteguhkan): Allah akan memenangkan (Islam berdaulat atau berkuasa) dan mengukuhkan kedudukan agama Islam dan umatnya.
3. Amn (Keamanan): Allah akan menukarkan perasaan takut kepada rasa aman sentosa apabila syariat Islam yang adil kepada semua dilaksanakan dengan sempurna, berkonsepkan amar ma‘ruf nahi munkar.

Maka, tolaklah parti pelampau dan Melayu luar tabii. Selamatkan negara bersama Islam.

Islam dan Melayu tidak boleh dipisahkan kerana menjadi dua perkataan yang tidak boleh diasingkan, laksana menetak air tidak akan putus, dan biduk lalu kiambang bertaut semula.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 9 Safar 1448 / 24 Julai 2026

[Bil: 49 / 2026]