KUALA TERENGGANU – Dakwaan kononnya “gelombang hijau” yang sering dimainkan oleh DAP dalam kempen pilihan raya disifatkan sebagai senjata makan tuan dan tidak lagi berkesan mempengaruhi sokongan rakyat terhadap penyatuan politik Melayu-Islam.
Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri Terengganu, YB Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, naratif tersebut sengaja dibangkitkan bagi menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengundi bukan Islam terhadap PAS dan Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, usaha itu merupakan bentuk islamofobia yang bertujuan memburukkan imej PAS, sedangkan masyarakat pelbagai kaum di negeri-negeri yang ditadbir parti itu terus hidup dalam keadaan aman dan mendapat layanan yang adil.
“DAP menggunakan isu gelombang hijau sebagai serangan untuk menakutkan masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina dan India. Namun, akhirnya ia menjadi senjata makan tuan kerana rakyat dapat melihat sendiri realiti pentadbiran PAS.
“Kalau benar PAS mendiskriminasi kaum lain, sudah tentu masyarakat Cina dan India di negeri-negeri yang diperintah PAS akan dipinggirkan. Hakikatnya mereka tetap diberikan hak dan layanan yang sewajarnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai dakwaan “gelombang hijau” yang sering dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ustaz Khalil turut mendakwa tindakan DAP memainkan sentimen tersebut menunjukkan parti itu tidak mempunyai semangat patriotik kerana cuba mewujudkan ketakutan terhadap penyatuan ummah yang sedang digerakkan.
Menurutnya, rakyat kini semakin matang dan mampu menilai antara propaganda politik dengan realiti yang berlaku di lapangan.
“Saya percaya rakyat cerdik untuk membezakan antara kaca dan permata. Apa yang berlaku dalam beberapa pilihan raya sebelum ini menunjukkan rakyat semakin memahami hakikat tersebut,” katanya.
Beliau turut menyifatkan keputusan pilihan raya yang bakal berlangsung, termasuk PRN Negeri Sembilan, sebagai referendum rakyat terhadap usaha penyatuan ummah serta penolakan terhadap politik ekstrem yang didakwanya dibawa oleh DAP.






























