Pakej rangsangan ekonomi yang dibentangkan semalam adalah satu misal yang paling hampir, dekat dan tepat, membenarkan apa yang diperkatakan oleh ahli parlimen dari MIC itu.
Dewan Rakyat yang bersidang 5 November telah mengambil ketetapan menolak pakej rangsangan asal sebanyak RM 7 bilion yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Najib Tun Razak pada 4 November 2008.
Keputusan itu dibuat setelah mendapat tentangan hebat dari ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat yang mendesak Speaker Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia membuat satu ketetapan.
Speaker kemudiannya memutuskan perbahasan bajet di peringkat Jawatankuasa hendaklah berdasarkan kepada Bajet Abdullah Badawi yang dibentangkan pada 29 Ogos 2008 dan menolak Bajet Najib.
Najib pada mulanya berkeras dan tidak melayan desakan ikhlas Pakatan Rakyat yang meminta agar Menteri Kewangan tampil semula ke Parlimen untuk membentangkan Bajet Tambahan, susulan krisis kewangan global yang turut memberikan impak negatif kepada ekonomi Malaysia.
Dalam kedegilan bakal Perdana Menteri itu, akhirnya ia tunduk juga dan membentangkan pakej rangsangan berjumlah RM60 bilion semalam.
Namun apakah pakej yang dikemukakan itu benar-benar akan menyelamatkan negara dari malapetaka kemelsetan ?
Apa pun cadangan yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak menghadapi kemelesetan ekonomi dunia yang semakin terasa di negara ini, hari ini kedua-dua petunjuk; Ringgit Malaysia dan Bursa saham jatuh dipasaran masing-masing.
Pembentangan pakej rangsangan sebanyak RM 60 bilion semalam tidak akan membawa Malaysia ke tempat yang lebih selamat dari menerima tempelak krisis ekonomi dunia.
Wall Street Journal tidak pun memuji langkah-langkah yang dicadangkan oleh Najib. Malah jurnal itu dengan jelas meletakkan Najib sebagai bukanlah sseeorang yang mengetahui tentang ekonomi pasaran bebas dan buka seorang reformer (pengislah) ekonomi.
Dengan perbelanjaan secara kasarnya 9 peratus dari KDNK pada tahun 2008, untuk dua tahun (2009 dan 2020), tidaklah dipandang sesuatu yang besar (berlebih-lebih). Defisit fiskal yang dianggarkan adalah telalu besar, 7.6 peratus daripada KDNK, meningkat sebanyak 2.8 peratus daripada anggran asal, 4.8 peratus.
Berdasarkan unjuran perbelanjaan KDNK diatas, walaupun kedengarannya RM60 juta satu jumlah yang besar, kewangan sebenarnya yang akan dibelanjakan hanyalah RM10 bilion dalam tahun ini (2009) dan RM5 bilion untuk tahun depan.
Walaupun tindakan yang diambil menuruti jejak langkah Amerika Syarikat, Jepun dan Australia, namun tidaklah menjadikan ia suatu langkah yang bijak bagi Malaysia.
Perlu diingati oleh semua pihak bukan semua dari jumlah RM60 bilion dapat di terjemahkan dalam bentuk pengembangan berganda ekonomi sepanjang tempoh dua tahun ini.
Sebanyak RM25 bilion dari jumlah RM 60 bilion adalah dalam bentuk dana jaminan (guarantee fund), RM10 bilion terus diberikan sebagai pelaburan ekuiti (Khazanah Nasional), RM7 bilion adalah inisiatif institusi kewangan persendirian dan diluar bajet dan RM3 bilion adalah bentuk insentif cukai.
Program-program yang melibatkan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dilihat hanya akan menjadi ‘pemberian wang’ yang tidak mengembangkan ekonomi, sebagai contoh, Khazanah Nasional yang diberikan sejumlah RM10 bilion.
Manakala lain-lain program seperti latihan semula, latihan usahawan yang turut melibatkan agensi kerajaan juga akan mengakibatkan sebahagian kewangan dari pakej rangsangan hanya akan tenggelam begitu sahaja.
Kerajaan seolah-olah mahu menanggung semua limpahan lebihan tenaga kerja dengan membesarkan perkhidmatan awam dengan pengumuman Najib, sektor awam akan mewujudkan 63,000 peluang pekerjaan.
Namun penganalisis menjangkakan kadar pengangguran dijangka mencecah lebih daripada 6.5 peratus atau 747,500 pekerja akan kehilangan pekerjaan dalam tempoh dua tahun ini.
Majoriti pakar-pakar ekonomi bersetuju, pakej yang dinamakan ‘rangsangan’ menghadapi kemelut ekonomi dunia yang semakin parah itu, kurang impak ‘big bang’nya.
Paling baik pun, ia akan menimbulkan keyakinan jangka pendek dan dapat bertahan dari kesan mendalam kemelesetan untuk jangka pendek bagi menghadapi ekonomi yang masih belum benar-benar pasti.