Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Usaha menjadikan golongan bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS telah ada semenjak awal dekad 1960an. Gagasan idea ini telah dikemukakan oleh almarhum Prof Zulkifli Mohamad dalam mesyuarat PAS Pusat. Idea Timbalan Presiden PAS Pusat itu ditolak saat itu lantaran beberapa isu besar yang sedang melingkari tanah leluhur ini. Esak tangis sang ideologue PAS itu selepas keluar daripada mesyuarat PAS Pusat itu bukannya penghujung kepada usaha mewujudkan entiti bukan Islam dalam harakatul ummah ini.
PAS dalam denai sejarahnya terbukti membumikan ajaran Islam, menolak fahaman ultra nasionalis, menebar rahmah kepada semua golongan tanpa mengira latarbelakang agama dan etnik. Tragedi berdarah 13 Mei 1969, adalah bukti bagaimana kejayaan PAS menjaga kerukunan dan memelihara kedamaian antara kaum. Setitik darah tidak tumpah di bumi Kelantan yang diperintah oleh kerajaan PAS. Ironinya Lembah Kelang bermandi darah dengan kerusuhan fizikal dan mental, Kelantan tenang dan terkenal dengan asimilasi kaum yang terbaik dalam tanahair ini.
PAS sebagai gerakan massa yang memiliki sebanjaran pengalaman emas dalam perjuangan sebaris dengan gerakan berbasis Islam seperti Ikhwanul Muslimin, Jamiat Islami dan sebagainya. PAS paling terkedepan merengkuh dokongan massa, berjaya membentuk kerajaan serta satu satunya gerakan Islam yang mempunyai entiti bukan Islam didalam organisasinya. PAS pernah menjadi rakan sekutu kerajaan persekutuan, berjaya memerintah empat buah negeri serta ” govement in waiting” yang berani memaparkan gambaran sosok Perdana Menteri jika gerakan massa ini berjaya ditampuk kuasa.
Dalam sejarah panjang perjuangan PAS juga , pada tahun 1986 tokoh tokoh berketurunan Cina dalam PAS menubuhkan CCC atau Chinese Consultative Council. Era 1980an juga pernah berlaku ketegangan politik sehingga berlaku ” ISA mass crackdown” iaitu operasi Lalang pada tahun 1987. PAS menentang fahaman perkauman sempit , membuka seluas lahan kefahaman ummat bagaimana Islam mampu menjaga kerukunan manusia. Itulah prinsip PAS yang tak pernah dirungkai walaupun diterjah arus zaman dan itulah realiti sejarah dalam gelombang naik atau turun kerajaan Islam sejak zaman ar Rasul SAW.
Dengan realiti kemajmukan masyarakat di tanah leluhur ini , PAS menyusun langkah memperkukuh organisasinya. Sebuah entiti kelab Penyokong PAS telah diluncurkan pada 11 Mac 2004 oleh almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Gelombang sokongan bukan Islam kepada PAS adalah kerana secara optikal mereka melihat pemerintahan PAS di tanah serendah sekebun bunga. Tiada diskriminasi atau injakan maruah namun suasana keharmonian pelbagai bangsa di Kelantan dibawah pemerintahan ulama PAS. KPP telah diletakkan dibawah Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat dan KPP semakin menyorot perhatian akan relevansi sebuah wadah bagi non muslim dalam PAS.
Pada tahun 2010 KPP telah dinaiktaraf serta diakui keberkesanannya dalam merengkuh sokongan massa. KPP diangkat menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS ( DHPP ). Entiti bukan Islam ini sangat aktif berkempen dalam mana mana Pilihanraya Umum atau Pilihanraya Kecil. Mereka berkeringat dilapangan malah turut mencanai intelektual dengan sebahagian besar pemimpin DHPP mengikuti kelas ILHAM.
DHPP terus mengakar dan merimbun, medan berhimpun pelbagai etnik dalam wadah ini. India, Cina, Siam, Iban, Murut , Bidayuh, Kadazan dan lain lain etnik seolah melengkapkan mozaik mimpi mimpi almarhum Prof Zulkifli Mohamad yang disempurnakan dizaman DS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang . Ramai juga pendokong DHPP yang diserap dalam pentadbiran kerajaan PAS/PN, malah mereka kelompok teras dalam PAS yang berjaya meredam momokan pembenci pembenci PAS. PAS cuba digambarkan ekstrem, taliban, tak mesra bukan Islam walhal contoh optikal dihadapan mata mereka keaktifan DHPP serta keadilan kerajaan PAS.
Pada tahun 2019 Dewan Himpunan Penyokong PAS telah bertukar nama kepada Dewan Himpunan Pendukung PAS. Terus dilihat komited dalam memberdayakan dokongan bukan Islam kepada PAS maka dalam Muktamar PAS ke 70 pada tahun 2024, PAS telah mewujudkan ahli bersekutu . Menurut Pengerusi DHPP yang berjasa, Mr Bala ” dalam tempoh kewujudan entiti DHPP, sebanyak sepuluh kali konvensyen telah diadakan, ianya menjadi medan bermuhasabah, menilai perjalanan dan aktiviti DHPP”.
Hari ini penulis menjadi saksi sebuah peristiwa bersejarah DHPP, kali pertama Dewan ini memilih pemimpin sejak ianya menjadi dewan kelima didalam PAS. Di podium Dewan Dato Fadhil Noor KUIZM , DS Takiyuddin Hasan dan Dato Idris Ahmad memberikan wejangan relevansi DHPP kepada perjuangan PAS. Para perwakilan yang datang daripada seluruh negara membuat pilihan dalam perhimpunan bersejarah ini. DHPP pastinya akan terus mempersada perjuangan , menjadi jambatan ukhuwwah kepada bukan Islam untuk mengenali PAS, parti yang telah 75 tahun menabur bakti kepada tanahair ini.
( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI )






























