Meskipun isu pengangguran di Malaysia dikatakan masih berada di tahap terkawal tetapi ia telah menunjukkan beberapa petanda yang membimbangkan. Ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang menjangkakan 50,000 pekerja bakal kehilangan pekerjaan disebabkan terjejasnya sektor pembuatan di negara ini.
2. Namun, disebalik isu tersebut, masalah pengangguran belia di negara ini juga tidak kurang pentingnya. Laporan khas oleh Bank Negara Malaysia pada 2016 bertajuk “Youth Unemployment in Malaysia: Developments and Policy Considerations” telah mengungkapkan permasalahan pengangguran belia sekaligus menggambarkan keseriusan isu tersebut perlu ditangani dengan strategik oleh kerajaan.
3. Secara keseluruhannya, peratusan pengangguran belia pada 2015 adalah 3.5 kali lebih tinggi jika dibandingkan dengan kadar pengangguran keseluruhan negara ini dengan kumpulan umur 20-24 tahun, umur para graduan, mencatatkan jumlah tertinggi diikuti kumpulan umur 24-29 tahun.
4. Perdebatan yang hangat sudah pasti terarah kepada inovasi pendidikan tinggi negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (PPPM 2015-2025) yang menjadi tunjang memastikan kebolehpasaran para graduan di negara ini. Malaysia kini berada pada gelombang kedua pelan perancangan 10 tahun tersebut dengan beberapa perancangan antaranya memastikan penglibatan secara aktif kelompok industri dalam mencorak perubahan pendidikan di universiti supaya menepati kehendak para pemain industri.
5. Kita harap kerajaan menyediakan mekanisma pemantauan yang tersusun dan sistematik dalam proses merealisasi pelan pembangunan pendidikan supaya isu pengangguran belia terutamanya para graduan dapat ditangani secara efektif.
6. Ini ditambah lagi dengan pemakaian “Outcome Based Budgetting System” (OBBS) yang perlu diterjemah dalam perancangan pendidikan negara tersebut supaya pengukuran terhadap “delivery process” lebih objektif. Saya difahamkan PPPM 2015-2025 juga meletakkan perubahan daripada mengukur “output” kepada “outcome”, tetapi masih meninggalkan tanda tanya terhadap bagaimana mekanisma menyeluruh terhadapnya direncana.
7. Melihatkan kepada isu pengangguran belia yang semakin menjadi-jadi, kerajaan turut disaran memformulasi suatu polisi khusus menangani isu tersebut yang turut menjadi pelengkap (complement) kepada PPPM 2015-2025.
8. Cadangan ini supaya fokus terhadap isu pengangguran belia tidak dikesamping dalam kerajaan melakukan inovasi terhadap sistem pendidikan negara.
9. Namun, melakukan perancangan kedepan tanpa memuhasabah kelemahan sistem yang telah diaplikasi sebelumnya bukanlah kaedah yang tepat. Tidak dapat tidak, kelemahan sistem yang lalu telah menyebabkan wujudnya barah pengangguran khusus dikalangan belia, apatah lagi para graduan yang merupakan tonggak kepada pembangunan dan kemajuan negara.
10. Sewajarnya kelemahan lalu dibedah selumatnya, diperdebatkan dan diperbaiki sebelum perancangan untuk masa akan datang lebih sempurna.
Sejahtera Bersama Islam.
Sekian, terima kasih.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat