

Sesetengah orang menuding jari terhadap IPP, lantaran daripada double standard yang diamalkan oleh PM Najib dalam isu subsidi. Dalam satu kenyataan oleh Persatuan IPP pada 21 Julai 2010, mereka menafikan bahawa IPP menerima manfaat daripada subsidi gas, sebaliknya mendakwa bahawa manfaat ini disalurkan kepada pengguna melalui Pass-through mechanism.
(Gambar – Stesyen Janaelektrik YTL di Paka, sebuah IPP yang mendapat subsidi)
Menurut Persatuan IPP, dalam model operasi IPP yang sedia ada, harga gas ditetapkan oleh kerajaan, dan gas ini dibekalkan kepada IPP. Dalam hal ini, IPP yang menandatangani kontrak dengan TNB (Tenaga Nasional Berhad), hanya berperanan sebagai pembekal eletrik, dan tidak terlibat dalam hal ehwal pengguna.
PPA yang berat sebelah
Bagaimanapun, kenyataan Persatuan IPP ini hanya benar secara luarannya. Sememangnya IPP tidak memperolehi manfaat kewangan secara langsung daripada subsidi gas ini, tetapi IPP telah mengaut keuntungan yang besar secara tidak langsung daripada subsidi gas ini. Pada hakikatnya, Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA) antara kerajaan, TNB dengan IPP menjadi punca kepada mekanisme subsidi ini.
Seandainya dilihat dari struktur sektor bekalan elektrik secara menyeluruh, TNB adalah pembekal elektrik yang utama, dengan kira-kira 60% aset kilang penjana elektrik di Semenanjung Malaysia, dan 55% aset kilang penjana elektrik di seluruh Malaysia. Sementara itu, IPP menguasai 40% aset kilang penjana elektrik di seluruh Malaysia, di samping 5% yang selebihnya dimiliki SESB di Sabah dan SESCo di Sarawak.
Sektor elektrik merupakan pengguna terbesar dalam pasaran gas semulajadi. Menurut laporan kewangan Petronas pada tahun 2009, 59.7% gas semulajadi disalurkan kepada sektor elektrik, dan kira-kira dua pertiga daripadanya pula dibekalkan kepada IPP. Jikalau dilihat mengikut nisbah, IPP merupakan unit penerima subsidi gas yang terbesar dalam sektor elektrik.
Menurut maklumat daripada laporan kewangan Petronas pada tahun 2007, Petronas telah menanggung beban subsidi gas sebanyak RM58.2 bilion untuk sektor elektrik mulai tahun 1997. RM27.6 bilion (47%) daripadanya dibekalkan kepada IPP, sementara TNB memperolehi subsidi gas sebanyak RM21.2 bilion (37%). Malah, RM9.4 bilion (16%) yang selebihnya, dikongsi oleh perusahaan kecil dan sederhana, bidang komersial dan rumah tangga. Jelas, IPP memperolehi subsidi gas yang tertinggi.
Petronas kini membekalkan gas semula jadi kepada sektor elektrik pada harga RM6.40 per mmBtu (Million Metric British Thermal Units), selepas subsidi. Menurut harga antarabangsa pada pertengahan Julai, harga pasaran gas semulajadi adalah USD 4.39 atau RM14/mmBtu. Dengan kata lain, IPP membeli gas semula jadi dengan harga RM7.60 (55%) lebih rendah daripada harga pasaran, selepas subsidi yang sudah tentu tidak kecil angkanya.
Baca Lagi Dari Sumber>>

























