Sekutu Gesa Hentikan Keganasan di Syria

510

 

Namun, China tetap dengan pendiriannya menentang sebarang campur tangan tentera asing dalam hal itu.

Agensi berita Xinhua menukil kenyataan Kementerian Luar China yang menggesa dua pihak yang bertelagah – rejim Perdana Menteri Syria, Encik Bashar al-Assad, dan golongan pemberontak – supaya mengadakan dialog.

Kenyataan itu turut menyatakan bantahan China terhadap sesiapa yang ingin campur tangan dalam urusan dalam negeri Syria dengan helah melakukan kerja-kerja bantuan kemanusiaan.

Sebelum ini, China menyertai Russia memveto ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai isu Syria yang turut menggesa supaya keganasan dihentikan di negara itu.

[Gambar – wakil China di PBB Li Baodong ketika mengundi usul yang membabitkan krisis Syria pada 5 February lalu]

Tetapi Beijing khuatir ia akan membuka pintu kepada campur tangan kuasa asing dalam pemerintahan Encik Assad sebagaimana yang berlaku di Libya.

Kementerian Luar China menyampaikan saranan itu sedang Setiausaha Agung PBB, Encik Ban Ki-moon, meminta rejim Assad agar membenarkan pekerja-pekerja bantuan kemanusiaan memasuki bandar-bandar Syria.

Jumaat lalu, konvoi tujuh lori yang diatur Persatuan Palang Merah Antarabangsa dan Persatuan Bulan Sabit Merah Arab Syria dihalang daripada memasuki daerah Baba Amr.

Menurut pihak berkuasa Syria, keputusan itu diambil atas sebab-sebab keselamatan kerana dikhuatiri lori-lori berkenaan terlanggar periuk api atau dibom.

Syria mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa dan dituduh melakukan jenayah kerana menghalang Persatuan Palang Merah menyampaikan bantuan kemanusiaan ke daerah Baba Amr bagi hari kedua.

Sedang masyarakat antarabangsa terus mengutuk tindakan rejim Assad, mayat wartawan warga Amerika, Cik Marie Colvin, dan jurugambar Perancis, Encik Remi Ochlik, diterbangkan ke Paris dari Damsyik.

Kedua-dua wartawan Barat itu terbunuh dalam serangan roket di pusat media sementara Baba Amr pada 22 Februari lalu. — AP, AFP.