KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu memberi amaran keras bahawa Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) 2025 berpotensi berubah daripada alat pembangunan kepada punca pengusiran rakyat daripada kediaman mereka sendiri.
Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu, To’ Puan Zarani Othman menegaskan, undang-undang itu dilihat hanya menguntungkan pemaju, sedangkan rakyat terbanyak – khususnya golongan Melayu dan Bumiputera di bandar – bakal menjadi mangsa kehilangan tempat tinggal.
“RUU ini membuka ruang pemindahan paksa dengan pampasan tidak jelas. Jika pampasan berbentuk rumah baharu diberikan sekalipun, ramai rakyat tidak mampu menanggung kosnya. Akibatnya mereka akan diusir jauh dari pusat bandar,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman kepada Tanah Rizab Melayu serta penghakisan kuasa Raja-Raja Melayu kerana proses URA tidak melalui Majlis Raja-Raja.
“Ini seolah-olah pengalihan kuasa daripada institusi Raja kepada seorang Menteri semata-mata. Ia amat berbahaya dan tidak boleh dipandang ringan,” ujarnya.
Zarani berkata, fenomena gentrifikasi juga dijangka menjadi kesan utama undang-undang itu, di mana bandar hanya mampu didiami golongan kaya, manakala penduduk berpendapatan rendah terpaksa berpindah ke pinggir.
“Kita sudah lihat tekanan berterusan ke atas Kampung Baru, Kuala Lumpur. Perkara sama boleh berlaku di seluruh negara jika RUU URA diluluskan,” katanya.
Menurut beliau, isu ini tidak terbatas kepada orang Melayu semata-mata, sebaliknya melibatkan semua kaum.
“Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli – semuanya berisiko kehilangan tanah dan rumah dengan pampasan yang tidak adil. Ini isu nasional yang menyentuh keadilan dan hak rakyat,” tegasnya.
Dewan Muslimat PAS turut menimbulkan persoalan mengenai nasib pemilik rumah yang masih berhutang dengan bank.
“Tempoh pinjaman rumah lazimnya 35 tahun, tetapi RUU ini membenarkan rumah berusia 30 tahun diambil alih atas nama pembangunan semula. Bagaimana dengan mereka yang masih membayar hutang, tetapi rumah sudah dirampas?” soal beliau.
Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menggesa kerajaan menangguhkan RUU URA 2025 serta mengkaji semula secara menyeluruh, dengan mengambil kira mekanisme pampasan lebih adil, perlindungan terhadap Tanah Rizab Melayu, penyertaan rakyat dalam proses keputusan, serta semak dan imbang kuasa Menteri.
“Kami tidak menolak pembangunan. Tetapi jika pembangunan itu menindas rakyat, menggugat tanah Melayu dan meminggirkan suara masyarakat, ia bukan pembangunan – sebaliknya satu bentuk penjajahan baharu,” tegas Zarani.


























