Oleh : KAM
KUALA TERENGGANU: Kejayaan sambutan rakyat terhadap Roadshow Himpunan 355 di setiap negeri yang diadakan bukti ‘signal’ rakyat mahukan perubahan.
Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata sokongan rakyat di kalangan umat Islam terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 di seluruh negara amat memberangsangkan.
Katanya, kebangkitan semangat rakyat itu sebagai satu isyarat kepada pemimpin Umno Terengganu dan Malaysia amnya, bahawa rakyat menuntut perubahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.


“Maka, kehadiran kita (rakyat) pada malam ini kita menghantar satu ‘signal’ satu isyarat kepada pemimpin Umno di Terengganu dan juga di Malaysia bahawa rakyat Terengganu akan membuat satu perubahan dalam PRU ke-14, akan datang,” tegasnya di hadapan lebih 3,000 hadiri.
Beliau berkata demikian ketka berucap pada program Roadshow Himpunan 355 Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam.


“RUU Akta 355 ini hanyalah membabitkan soal (hak) orang Islam. Ini tidak ada kena-mengena dengan orang bukan Islam. Itu (RUU) telah diluluskan sejak tahun 1965 dan Pindaan 1984.
“Apabila ada kenyataan-kenyataan dibuat oleh pemimpin DAP, MIC, MCA dan Gerakan, yang mengatakan bahawa Pindaan (RUU Akta 355) ini bertentangan dengan Perlembagaan itu tidak tepat.
“Bermakna, sejak tahun 1965 negara kita (Malaysia) mendukung perlembagaan yang tidak betul. Ini satu kenyataan yang dangkal dan sengaja untuk menimbulkan provokasi kepada orang-orang Islam di negara ini,” jelasnya.


“Kita bukan nak ganggu orang kerana Islam melarang kita menghina agama-agama lain.
“Islam tidak pernah menzalimi orang, walau pun kita tidak ada negara tetapi orang bukan Islam boleh hidup dalam keadaan aman dan damai. Mereka boleh menyembah (kepercayaan) agama mereka,” ujarnya.
Justeru, katanya usaha meluluskan RUU Akta 355 adalah bagi menaik taraf Mahkamah Syariah yang menjadi hak orang Islam.


“Ini yang membimbangkan kita (Islam) untuk generasi akan datang. Rekod buang bayi (luar nikah) oleh PDRM dari tahun 2010 hingga 2015 sahaja seramai 526 bayi. Ini yang ditemui dan direkodkan sahaja.
“Kes buli dalam masa 11 bulan dari Januari hingga November 2016, untuk bangsa Melayu seramai 1897 orang, Cina (530) orang, India (356) orang dan lain-lain bangsa 267 orang,” jelas Ustaz Idris.
Oleh demikian, katanya menjadi kewajipan kepada orang Islam untuk menyokong pelaksanakan hukum syariah.


























