Transformasi Ekonomi Hiliran Jadi Keutamaan Tangani Jurang Pembangunan Terengganu

271

KUALA TERENGGANU, 21 April – Terengganu perlu mempercepatkan transformasi struktur ekonominya dengan memberi tumpuan kepada pembangunan industri hiliran bagi memastikan pertumbuhan lebih mampan dan seimbang.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, langkah itu penting bagi mengurangkan kebergantungan negeri kepada hasil petroleum yang tidak menentu, di samping merapatkan jurang pembangunan antara daerah.

Baginda bertitah, Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) mencatat peningkatan sebanyak 0.5 peratus pada tahun 2024 berbanding 2023, sekali gus menunjukkan keberkesanan dasar dan strategi kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Menurut baginda, ekonomi Terengganu turut merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus dengan nilai RM39.9 bilion pada 2024 berbanding 2.2 peratus (RM38.2 bilion) pada tahun sebelumnya.

“Sektor perkhidmatan kekal menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK negeri iaitu 51.9 peratus, diikuti sektor pembuatan sebanyak 36.6 peratus serta sektor pembinaan,” titah baginda dalam Istiadat Pembukaan Penggal ke Empat DUN ke 15 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Namun begitu, baginda menzahirkan kebimbangan terhadap ketidakseimbangan pembangunan antara daerah, khususnya apabila Kemaman dilihat berkembang lebih pesat berbanding kawasan lain.

Katanya, jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar berpunca daripada aktiviti ekonomi yang terhad, sekali gus menjejaskan peluang rakyat menjana pendapatan.

Sehubungan itu, baginda menekankan keperluan merangka strategi selari dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 bagi beralih daripada pengeksport bahan mentah kepada pembangunan produk bernilai tambah.

“Pembangunan kluster industri hiliran mampu mengukuhkan rantaian nilai ekonomi negeri melalui penghasilan produk, penciptaan peluang pekerjaan serta penjanaan pendapatan yang lebih stabil,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan bahawa usaha tersebut berpotensi menarik pelaburan bernilai tinggi dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi, sekali gus menjadikan Terengganu lebih mampan dan berdaya saing menjelang 2030 selaras dengan matlamat Transformasi Ekonomi Baharu Terengganu (TNEXT).