Sidang DUN Terengganu 2026 Fokus Tadbir Urus, AI dan Integrit

34
Dato’ Haji Mohd Nor Hamzah

KUALA TERENGGANU – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang memasuki Mesyuarat Pertama Penggal Keempat bagi penggal ke-15 membuka tirai hari ini dengan penekanan terhadap pengukuhan tadbir urus, pemanfaatan teknologi serta integriti dalam pentadbiran negeri.

Bendahari PAS Terengganu Dato’ Haji Mohd Nor Hamzah berkata, persidangan kali ini menjadi medan penting untuk Ahli-ahli Dewan melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab demi memastikan setiap dasar dan keputusan memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan negeri secara menyeluruh.

Menurut beliau, penghayatan bulan Ramadan dan Syawal yang baru berlalu perlu diterjemahkan dalam bentuk kepimpinan berintegriti, berteraskan nilai kesabaran, keikhlasan serta semangat kebersamaan.

Dalam masa sama, beliau juga Yang di-Pertua DUN Terengganu, merafak sembah menjunjung kasih kepada Pemangku Raja Terengganu atas perkenan berangkat merasmikan persidangan, sekali gus mencerminkan peranan penting institusi diraja dalam menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran negeri.

Mengulas perkembangan semasa, beliau berkata landskap legislatif negara kini semakin mencabar, termasuk kegagalan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan 2026 mencapai majoriti dua pertiga, yang menunjukkan keperluan kepada kesepakatan politik yang lebih kukuh.

“Dalam konteks global pula, dunia menyaksikan peningkatan penggunaan undang-undang dalam menangani isu geopolitik, keselamatan serta perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan dan keselamatan siber,” katanya ketika berucap dalam siding DUN sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Belas DUN ke15, Wisma Darul Iman, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan memperkasakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pentadbiran negeri, khususnya di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi meningkatkan kecekapan serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam pada itu, aspek integriti turut diberi penekanan sebagai asas utama dalam memastikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri terus kukuh.

Beliau turut menyeru semua Ahli Yang Berhormat agar memanfaatkan persidangan dengan perbahasan yang matang, berfakta dan berhemah, selaras dengan peraturan Dewan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Negeri Terengganu.