Kecam Penahanan Jorjet Myla, Di bawah Akta Hasutan 1948

39

KUALA TERENGGANU — Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) meluahkan rasa dukacita dan kebimbangan serius susulan penahanan seorang wanita, Jorjet Myla, di bawah Akta Hasutan 1948, yang disifatkan sebagai satu bentuk intimidasi terhadap suara wanita dalam negara.

Ketuanya, Ustazah Nuridah Salleh menegaskan bahawa tindakan tersebut bukan sekadar isu perundangan, malah mencerminkan cubaan untuk mengekang keberanian wanita dalam menyuarakan pandangan terhadap kepimpinan negara.

Menurut beliau, Islam sendiri mengiktiraf peranan wanita dalam menegur dan memperbetulkan kepincangan melalui konsep amar makruf nahi mungkar, sebagaimana ditegaskan dalam Surah At-Tawbah ayat 71.

“Wanita bukan hanya pemerhati, tetapi rakan seperjuangan dalam memastikan keadilan dan kebaikan ditegakkan dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau turut menambah, suara wanita yang menyentuh isu ekonomi dan kepimpinan tidak wajar dianggap sebagai ancaman, sebaliknya perlu dilihat sebagai tanda keprihatinan terhadap masa depan negara.

Dalam masa sama, beliau menggesa kepimpinan negara mencontohi sikap terbuka Umar bin Al-Khattab yang menerima teguran, termasuk daripada seorang wanita, tanpa menggunakan kuasa untuk menekan.

Mengimbau sejarah, Khalifah Umar pernah menarik balik cadangan menghadkan mahar selepas ditegur oleh seorang wanita yang berhujah menggunakan Surah An-Nisa ayat 20.
“Sejarah membuktikan bahawa kekuatan pemimpin bukan pada kuasa menghukum, tetapi pada keberanian menerima kebenaran,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada kerajaan hari ini terlalu kebal daripada kritikan sehingga tidak mampu menerima pandangan rakyat, khususnya wanita.

Dalam kenyataan sama, Nuridah mendesak agar segala bentuk intimidasi dihentikan serta-merta, sambil menyifatkan penggunaan undang-undang bagi membungkam kritikan sebagai satu penyalahgunaan kuasa.

“Rakyat berhak bersuara tanpa rasa takut. Wanita tidak seharusnya dibayangi ancaman hanya kerana menyatakan pandangan,” tegas beliau lagi.

DMPM turut menegaskan komitmen berterusan untuk mempertahankan hak wanita dan rakyat dalam memperjuangkan keadilan serta menegakkan prinsip demokrasi selaras dengan tuntutan Islam.