Perpaduan Umat Menghadapi Musuh Yang Nyata

116

Walaupun sentiasa mengulangi doa dalam Surah al-Fatihah yang menjadi rukun solat, iaitu memanjatkan rayuan kepada Allah SWT supaya bersama mereka yang dikurniakan ni‘mat-Nya, masih ada yang tidak yakin kepada janji-Nya dan Rasul-Nya SAW. Firman Allah SWT:

وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ مَعَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ وَٱلصِّدِّيقِينَ وَٱلشُّهَدَآءِ وَٱلصَّـٰلِحِينَۚ وَحَسُنَ أُوْلَـٰٓئِكَ رَفِيقٗا ٦٩ ذَٰلِكَ ٱلۡفَضۡلُ مِنَ ٱللَّهِۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ عَلِيمٗا ٧٠

“Dan sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahkan ni‘mat oleh Allah, iaitu Nabi-nabi, orang-orang siddiq, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya. (69) Yang demikian itu ialah kurnia daripada Allah, dan Allah cukup mengetahui. (70)” [Surah al-Nisa’: 69–70]

Bukan bersama kalangan mereka yang dimurkai Allah dan golongan yang sesat.

Golongan yang paling dimurkai ialah kaum Yahudi Ahli Kitab yang mengetahui kerasulan Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak beriman kepadanya, malah memeranginya. Firman Allah SWT:

بِئۡسَمَا ٱشۡتَرَوۡاْ بِهِۦٓ أَنفُسَهُمۡ أَن يَكۡفُرُواْ بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بَغۡيًا أَن يُنَزِّلَ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ مِنۡ عِبَادِهِۦۖ فَبَآءُو بِغَضَبٍ عَلَىٰ غَضَبٖۚ وَلِلۡكَٰفِرِينَ عَذَابٞ مُّهِينٞ ٩٠

“Alangkah buruknya (hasil perbuatan) mereka yang menjual diri mereka sendiri dengan kekafiran kepada apa-apa yang telah diturunkan Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan kurnia-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-hamba-Nya. Disebabkan itu, mereka mendapat murka sesudah (mendapat) kemurkaan. Dan untuk orang-orang kafir seksaan yang menghinakan.” [Surah al-Baqarah: 90]

Lebih melampau ialah kumpulan Zionis, pembunuh para anbiya’ dan berjuang untuk menegakkan negara Israel Agung (Greater Israel) serta menakluk seluruh negara Arab dan tanah suci umat Islam.

Manakala golongan yang paling sesat pula ialah kaum Nasrani dan Musyrikin kerana mengadakan tuhan-tuhan yang lain daripada Allah. Firman Allah SWT:

ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ ٣١

“Mereka menjadikan orang-orang alim mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah daripada apa-apa yang mereka sekutukan.” [Surah al-Tawbah: 31]

Melantik Nabi ‘Isa AS menjadi tuhan selain Allah dan mengatakannya anak Tuhan menjadikan mereka lebih sesat daripada Musyrikin. Mereka juga memberikan hak kepada para paderi mencipta undang-undang yang lain daripada ketetapan Allah.

Mengadakan tuhan-tuhan selain Allah dan mencipta hukum menggantikan hukum Allah bersama penyembah para paderi dan berhala ialah perbuatan mengikuti hawa nafsu tanpa akal kurniaan Allah kepada mereka, menjadikan mereka lebih sesat daripada binatang. Firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi Neraka Jahannam) kebanyakan daripada jin dan manusia; mereka mempunyai hati, (tetapi) mereka tidak mempergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), mereka mempunyai mata, (tetapi) mereka tidak mempergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga, (tetapi) mereka tidak mempergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]

Kumpulan ini bergabung menentang Islam pada zaman Rasulullah SAW. Kini, mereka mengganas serta merampas Palestin dan Masjid al-Aqsa, di samping menyerang ganas negara dan kumpulan yang ingin membebaskan Palestin.

Musuh menyerang Islam dan penganutnya tanpa membezakan bangsa, negeri, dan mazhab dalam kalangan umat Islam serta tanpa sempadan undang-undang dan sifat kemanusiaan. Semua yang berjenama Islam ialah musuh mereka. Firman Allah SWT:

وَمَا نَقَمُواْ مِنۡهُمۡ إِلَّآ أَن يُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ ٨

“Dan mereka tidak menyeksa orang-orang Mukmin itu melainkan kerana orang-orang Mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.” [Surah al-Buruj: 8]

Isu perbezaan mazhab dan kepelbagaian bangsa digunakan oleh musuh Islam bagi memecahbelahkan umat Islam, khususnya dalam kalangan ulama’ yang tidak tafaqquh fi al-din (tidak berilmu dan tidak memahami ajaran Islam yang sempurna).

Imam Abu al-Hasan al-Ash‘ari RH (260–324 H / 874–936 M) adalah paling tinggi ilmunya dalam perbezaan mazhab kerana beliau berada di Iraq, pusat kerajaan Islam yang menjadi tempat pergolakan mazhab yang sengit.

Beliau telah mengarang kitabnya yang masyhur dan mendalam kajiannya bernama Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musallin (مقالات الإسلاميين واختلاف المصلين). Perbincangannya ialah berkenaan kalangan yang tetap mengaku Islam dan bersembahyang menghadap kiblat yang sama (Ahli Kiblat).

Mereka berpecah kepada 10 firqah (kumpulan) yang besar dan tiap-tiap kumpulan berpecah lagi kepada kumpulan-kumpulan yang kecil.

Tiga kumpulan besar berpecah disebabkan perbezaan politik dalam kalangan para sahabat RA dalam soal pemilihan pemimpin (khalifah) selepas kewafatan Rasulullah SAW:

1. Kumpulan yang mencadangkan Ahli al-Bait (keluarga Rasulullah SAW), iaitu pendapat para sahabat seperti ‘Abbas RA, bapa saudara Rasulullah SAW yang mencadangkan ‘Ali bin Abi Talib RA, disokong oleh al-Zubair, Talhah, Salman al-Farisi, Abu Zarr, dan lain-lain RA.

2. Kumpulan yang mencadangkan Sa‘ad bin ‘Ubadah RA, iaitu pendapat daripada kalangan Ansar RA.

3. Kumpulan yang mencadangkan pemimpin daripada Muhajirin Quraisy yang merupakan majoriti penganut Islam.

Walaupun para sahabat bersepakat memilih Khulafa’ al-Rasyidin daripada Quraisy, pada zaman selepasnya, umat Islam makin ramai jumlahnya, menjadikan cadangan pemilihan kepemimpinan tersebut sebagai mazhab yang dikumpulkan pengikutnya. Di samping itu, adanya mazhab dalam masalah furuk aqidah seperti salaf, khalaf, dan lain-lain, dalam masalah fiqh (syariah) seperti Hanafi, Maliki, Syafi‘i, Hanbali, Zahiri, Ahli al-Bait, dan lain-lain, serta banyak tariqat dalam tasawuf (akhlak).

Kalangan Syiah menamakan fahaman mereka sebagai mazhab Ahli al-Bait, adapun kalangan yang mendukung Quraisy menamakan mereka sebagai mazhab Ahli al-Sunnah, manakala kumpulan yang tidak melampau daripada kalangan Khawarij pula dinamakan sebagai mazhab Ibadi.

Semua mazhab tersebut ada para ulama’ yang bertaraf mujtahid. Mereka memiliki tafaqquh ilmu yang tinggi dan diiktiraf oleh seluruh ulama’ besar lagi muktabar yang tidak boleh dipandang kecil, kerana pandangan mereka dimasukkan dalam kitab-kitab besar dalam pengajian ilmu Islam, khususnya dalam kitab tafsir, hadis, aqidah, fiqh, dan tasawuf.

Beratus-ratus orang ulama’ daripada segala mazhab tersebut meninggalkan warisan ilmu secara penulisan dan riwayat serta dimasukkan dalam kitab semua mazhab, malah ada yang mengarang kitab secara bersama. Di sini menunjukkan betapa para ulama’ yang bertafaqquh bersatu dalam perkara rukun asasi dan bertasamuh (bertoleransi) dalam perkara cabang yang berbeza.

Al-Quran dan hadis menjadi sumber bersama semua mazhab, maka kesemua mereka mengaku berpegang pada al-Quran dan al-Sunnah. Hanya kekhilafan berlaku dalam nas yang bersifat umum atau perkataan yang mengandungi berbagai-bagai makna, begitu juga sumber yang tidak ada nas yang nyata dalam perkara qias, istihsan, uruf, hukum akal, pendapat fuqaha’ Madinah, dan lain-lain.

Malangnya, pada zaman mutakhir, semua mazhab ini saling menyalahkan mazhab yang lain, bahkan saling menyesatkan sehingga mentakfirkan sesama sendiri. Keadaan berlaku dalam kalangan para ulama’ yang tidak bertafaqquh dalam perkara al-din yang disebut oleh firman Allah SWT:

۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢

“Tidak sepatutnya bagi Mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan antara mereka beberapa orang untuk bertafaqquh (memperdalam pengetahuan mereka) tentang agama dan untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka apabila kaum itu telah kembali kepada mereka, supaya kaum itu dapat menjaga diri.” [Surah al-Tawbah: 122]

Rasulullah SAW juga bersabda:

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا ‌يُفَقِّهْهُ ‌فِي ‌الدِّينِ.

“Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, Dia menjadikannya bertafaqquh dalam agama (bukan sekadar berilmu).” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, no. 71 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, no. 1038, daripada Mu‘awiyah bin Abi Sufyan]

Dinyatakan berlaku tanda-tanda akhir zaman oleh hadis Rasulullah SAW:

سَيَأْتِي عَلَى أُمَّتِي زَمَانٌ، يَكْثُرُ الْقُرَّاءُ، وَيَقِلُّ الْفُقَهَاءُ، وَيُقْبَضُ الْعِلْمُ، ‌وَيَكْثُرُ ‌الْهَرْجُ. قَالُوا: وَمَا الْهَرْجُ؟ قَالَ: الْقَتْلُ بَيْنَكُمْ، ثُمَّ يَأْتِي بَعْدَ ذَلِكَ زَمَانٌ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ رِجَالٌ لَا يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ، ثُمَّ يَأْتِي زَمَانٌ يُجَادِلُ الْمُنَافِقُ الْمُشْرِكُ الْمُؤْمِنَ.

“Akan tiba zaman yang menimpa umatku, ramai kalangan yang tahu membaca, sedikit sahaja yang bertafaqquh (faham), ilmu dihilangkan, dan banyak berlaku huru-hara.” Para sahabat bertanya, “Apakah huru-hara itu?” Baginda menjawab, “Pembunuhan dalam kalangan kalian. Kemudian, tiba masanya ramai yang tahu membaca al-Quran sekadar di kerongkong (tidak beriman kepadanya). Kemudian, tiba masanya orang yang munafiq dan Musyrik berlawan hujah dengan orang yang beriman.” [Hadis riwayat al-Hakim, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Kitab al-Fitan wa al-Malahim, no. 8412 dan al-Tabrani, al-Mu‘jam al-Awsat, no. 3277, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi al-Tabrani]

Imam Abu al-Hasan al-Ash‘ari RH berusaha menyatukan umat Islam untuk kembali kepada rukun Islam dan rukun iman yang ada titik persamaan.

Tidak boleh dinafikan dalam kalangan mazhab tersebut ada yang melampau, sehingga salah ijtihad mereka bahkan melakukan bidaah yang salah dan menyesatkan kerana kejahilan.

Abu al-Hasan al-Ash‘ari masih menamakan mereka sebagai al-Islamiyyin (penganut Islam) dan al-musallin (orang yang bersembahyang menghadap kiblat yang satu) kerana yang jahil boleh dibetulkan dengan ilmu dan hujah melalui kitab karangannya, Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musallin.

Syeikh Muhammad Abu Zahrah RH pula mengarang kitab Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, di samping beberapa kitab lagi yang boleh dirujuk dan menambahkan ilmu dalam perbandingan mazhab.

Pada tahun 1961, pihak ulama’ al-Azhar di Mesir menubuhkan Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah yang mengumpulkan lapan mazhab Ahli Kiblat yang melahirkan para ulama’ mujtahid dan kitab warisan ilmu yang kaya. Lapan mazhab tersebut terdiri daripada:

Sunni
1. Hanafi
2. Maliki
3. Syafi‘i
4. Hanbali
5. Zahiri

Syiah
6. Ja‘fariyyah atau Ithna ‘Ashariyyah
7. Zaidiyyah

Khawarij
8. Ibadi

Perbahasan kelapan-lapan mazhab tersebut dikumpulkan dalam kitab yang besar, iaitu al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah.

Pada tahun 1979 pula, ditubuhkan al-Majma‘ al-‘Alami li al-Taqrib bayn al-Mazahib al-Islamiyyah yang diusahakan oleh Republik Islam Iran.

Imam Malik RH menegaskan sekiranya 99 peratus pegangan seseorang itu sesat dan hanya satu peratus sahaja yang betul, dia tidak boleh dihukum dengan gopoh kerana sabda Rasulullah SAW:

‌ادْرَءُوا ‌الْحُدُودَ بِالشُّبُهاتِ.

“Ditolak hukuman hudud (hukum yang dinyatakan nas dalam al-Quran dan hadis) dengan adanya kekeliruan.” [Hadis riwayat al-Suyuti, Jam‘ al-Jawami‘, jld. 1, hlm. 318, no. 876, dan diriwayatkan dalam jalur lain yang dinyatakan para ulama seperti al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra dan lain-lain]

Ingatlah amaran Allah SWT:

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولٗا ٣٦

“Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.” [Surah al-Isra’: 36]

Pada permulaan abad yang lalu ketika kelemahan Khilafah ‘Uthmaniyyah, lahirnya para ulama’ mujaddid dan islah seperti Jamaluddin al-Afghani, muridnya Muhammad ‘Abduh (Mufti Besar Mesir), Shah Waliullah al-Dahlawi, dan lain-lain RH.

Jamaluddin al-Afghani pernah dibuang ke Iran yang ketika itu diperintah oleh Shah Qajar (Nasiruddin Shah Qajar) yang dilantik oleh penjajah. Shah Qajar menyeret Iran kembali ke zaman Majusi dan menggalakkan mazhab Syiah yang menyeleweng, malah melaksanakan sistem sekularisme bagi memisahkan Iran daripada dunia Islam dan bermusuh dengan Khilafah ‘Uthmaniyyah.

Namun begitu, Jamaluddin al-Afghani berjaya mengumpulkan para ulama’ dalam perjuangan kembali semula kepada Islam, bersama parti Islam dan jemaah Islam yang berjuang mempertahankan Islam di seluruh pelosok negeri Islam dengan pelbagai nama.

Berikutnya ialah kumpulan Islam di seluruh negeri Islam bagi perjuangan menegakkan semula negara Islam yang mendaulatkan Islam.

Pada masa yang sama, semua kumpulan musuh Islam mencegah dengan segala cara dan menghalang penubuhan semula negara Islam yang mendaulatkan Islam secara politik dan ketenteraan.

Antara langkah musuh Islam ialah semua wilayah Islam yang berada bawah pengawasan mereka, melalui Perjanjian Sykes–Picot, mereka membahagikan jajahan pemerintahan ‘Uthmaniyyah di Asia Barat dengan melantik para pemimpin yang menyokong kejatuhan Kerajaan ‘Uthmaniyyah menjadi ketua negara, sambil setiap jajahan itu dibahagikan kepada penjajah Barat bagi mengawasinya, khususnya Palestin dibahagikan kepada Yahudi Zionis bagi menubuhkan negara Israel Agung.

Kemudian di setiap negeri, diadakan pangkalan tentera yang khusus bagi mengawal kawasan yang kaya dengan sumber tenaga (petroleum dan gas asli), di samping menjadikan Israel tonggak penting. Selain itu, meletakkan Turkiye bawah Kamal Ataturk dan Iran bawah Shah Pahlavi yang bersama menjaga kepentingan penjajah bagi menghalang kebangkitan semula kerajaan Islam dengan mewajibkan sekularisme dalam perlembagaan. Dua negara yang paling zalim terhadap gerakan Islam pada masa itu dengan paling ramai ulama’ dan pemimpin dibunuh.

Semua negara ketika itu melaksanakan konsep diktator atau kuku besi yang memaksa rakyat. Sebarang kebangkitan Islam akan dipancung, walaupun melalui demokrasi yang menjadi slogan Blok Barat. Sebarang perubahan kepada Islam akan dihapuskan. Kemenangan Islam di Mesir, Algeria, dan Yaman juga dibatalkan.

Di Turkiye, hukuman mati dijatuhkan terhadap Perdana Menteri Adnan Menderes yang melakukan perubahan ke arah Islam. Kerajaan pimpinan Prof. Najmuddin Erbakan pula digulingkan oleh tentera yang melindungi sekularisme dalam perlembagaannya. Hari ini, Recep Tayyip Erdogan dibenarkan melaksanakan konsep sekularisme Islam.

Tiba-tiba, Shah Iran yang dilantik menjadi negara barisan hadapan untuk mendepani Perang Dingin dengan Blok Timur yang membentuk bala tentera yang paling kuat dan membunuh para ulama’ pula digulingkan oleh Revolusi Islam pada tahun 1979.

Iran ditukar nama kepada Republik Islam Iran. Para ulama’ yang memimpin revolusi melakukan tajdid dalam mazhab Syiah daripada Wilayah al-Muntazar (Kepimpinan Imam al-Mahdi yang Ditunggu) kepada Wilayah al-Faqih (Kepimpinan Ulama’), menyamai konsep al-siyasah al-syar‘iyyah atau al-ahkam al-sultaniyyah dalam mazhab Sunni berslogankan penyatuan umat Islam. Mereka juga melaksanakan konsep Syura (pilihan raya secara Islam).

Perubahan tersebut menakutkan kuasa besar Blok Barat, lantas mereka menggerakkan negara Arab untuk melancarkan Perang Teluk dengan meniupkan isu mazhab serta semangat kebangsaan Arab dan Sunni bagi menentang Syiah. Keadaan menjadi lebih tegang apabila Republik Islam Iran membatalkan pengiktirafan terhadap negara Israel oleh Shah Iran dan membangkitkan slogan untuk menghapuskan Israel dan membebaskan Masjid al-Aqsa.

Keadaan lebih membakar apabila berlaku kemenangan gerakan Islam Hamas dalam Pilihan Raya Perundangan Palestin 2006. Pilihan raya tersebut diadakan bagi melaksanakan pelan damai dua negara (two-state solution) Arab dan Yahudi yang ditaja oleh Barat. Walau bagaimanapun, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang ditaja oleh Barat dan disokong oleh negara Arab kalah dalam pilihan raya tersebut.

Tiba-tiba, kemenangan Hamas tidak diiktiraf, malah diberikan kepada PLO untuk menubuhkan kerajaan sementara bagi pelaksanaan penyelesaian dua negara. Palestin bawah PLO dibenarkan menjadi anggota Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta negara pemerhati bukan ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Apabila Hamas menubuhkan kerajaan sendiri di Gaza yang tidak diiktiraf oleh negara Arab dan Islam melainkan Iran dan parti-parti Islam, Gaza telah dikepung dan akhirnya diganyang dengan peperangan oleh Israel dan negara sekutunya dengan bekalan senjata yang bertali arus, termasuk senjata pemusnah yang diharamkan.

Perang yang paling melampau dilancarkan terhadap Gaza apabila Hamas bertindak melalui operasi Taufan al-Aqsa bagi bertindak balas terhadap pencerobohan pelampau Zionis ke dalam Masjid al-Aqsa. Serangan itu menembusi pertahanan Israel sehingga membunuh dan menawan ramai anggotanya.

Zionis melakukan serangan balas paling melampau terhadap Gaza dengan membunuh kanak-kanak, warga tua, dan kaum wanita serta menyerang hospital, sekolah, dan rumah ibadat dengan bantuan Amerika Syarikat dan negara sekutunya, sehingga dibantah oleh masyarakat antarabangsa dan disabit melakukan jenayah perang oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Namun begitu, Zionis tetap gagal menawan Gaza.

Islam mewajibkan jihad menyelamatkan saudara seagama. Firman Allah SWT:

وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥

“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah, baik lelaki-lelaki, wanita-wanita, mahupun anak-anak yang semuanya berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya, dan berilah kami pelindung daripada sisi Engkau serta berilah kami penolong daripada sisi Engkau!’” [Surah al-Nisa’: 75]

Malangnya, negara-negara jiran Arab dan Islam mengecewakan dan tidak ada persediaan yang diwajibkan oleh Allah. Firman Allah SWT:

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]

Republik Islam Iran tampil membuat persediaan dan membantu Palestin yang bermazhab Sunni. Adapun negara Arab yang bergantung dengan pangkalan tentera Barat yang menaungi mereka sungguh mengecewakan.

Akibatnya, Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran dengan menggunakan pangkalan mereka di negara Arab.

Apabila Iran bertindak melancarkan serangan balas terhadap bala tentera asing di pangkalan mereka, tiba-tiba Iran dituduh menceroboh negara jiran, malah negara itu bertindak melindungi tentera asing.

Isu mazhab digunakan sebagai fitnah. Iran dikutuk dan disalahkan melalui PBB dan media, bukan Amerika Syarikat dan Zionis Israel yang menceroboh negara Republik Islam Iran yang berdaulat secara zalim dan melampau. Iran, Hamas, dan kumpulan Islam yang bersama mereka disenaraikan sebagai pengganas yang mesti dihukum.

Donald Trump membuat kenyataan bahawa Iran berubah menjadi pengganas sejak tahun 1978 dan rakyatnya wajib melakukan perubahan dengan melantik Putera Mahkota Shah Iran, iaitu Mohammad Reza Pahlavi yang berlindung di Amerika Syarikat agar ditabalkan semula sebagai pemimpin negara Iran. Keadaan ini menunjukkan pengisytiharan perang terhadap Islam.

Malangnya, ada kalangan agamawan yang bergelar ustaz dan sebagainya ikut bersama menyebarkan fitnah terhadap tanah air Islam dan umatnya yang dizalimi kerana isu kenaikan harga minyak, gas, dan lain-lain, tanpa peduli terhadap musuh yang menyerang Islam dengan zalim kerana beriman kepada harta.

Bacalah firman Allah SWT:

وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّالِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦

“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berinya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikannya (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika kamu membiarkannya, ia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176)” [Surah al-A‘raf: 175–176]

Akhirnya, firman Allah SWT:

فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣

“Maka, tetaplah kamu di jalan yang benar sebagaimana diperintahkan kepadamu serta (juga) orang yang telah taubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan. (112) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh Api Neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan. (113)” [Surah Hud: 112–113]

Allah SWT juga berjanji:

… وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠

“…Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa.” [Surah al-Hajj: 40]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 24 Syawwal 1447 / 13 April 2026

[Bil: 26 / 2026]