KUALA TERENGGANU – Transformasi ekonomi negeri melalui pendekatan Ekonomi Biru dan pemodenan sektor pertanian dikenal pasti sebagai antara agenda penting dalam memperkukuh daya tahan ekonomi Terengganu, khususnya dalam aspek keterjaminan makanan dan pembasmian kemiskinan.
Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, pendekatan Ekonomi Biru berpotensi menjadi teras utama pembangunan negeri dengan memberi penekanan kepada kelestarian sektor perikanan, pemuliharaan ekosistem pesisir serta pembangunan pelancongan laut dan akuakultur.
Menurut baginda, usaha seperti inovasi penangkapan ikan secara lestari, pengurusan kawasan perlindungan laut dan penggunaan sumber marin secara bertanggungjawab mampu meningkatkan pendapatan komuniti pesisir serta memperkukuh daya saing sektor maritim.
Namun begitu, baginda menzahirkan kebimbangan apabila data pendaratan hasil laut masih belum menunjukkan peningkatan memberangsangkan meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan.
“Data pendaratan tahun 2024 menunjukkan peningkatan kepada 43 ribu metrik tan berbanding 39 ribu metrik tan pada tahun 2023, namun angka ini masih belum mencapai tahap yang sewajarnya,” titah baginda titah baginda dalam Istiadat Pembukaan Penggal ke Empat DUN ke 15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Sehubungan itu, baginda menegaskan keperluan memperkasa kemudahan infrastruktur perikanan seperti jeti pendaratan, bilik sejuk beku serta fasiliti sokongan lain bagi memastikan keseluruhan ekosistem sektor perikanan dapat berfungsi secara lebih efektif.
Dalam perkembangan berkaitan, sektor pertanian turut mencatat sumbangan signifikan kepada ekonomi negeri apabila menyumbang sebanyak RM2.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri pada tahun 2024 dengan pertumbuhan 3.9 peratus.
Baginda bertitah, potensi sektor ini perlu terus diperkasakan melalui pengukuhan pengeluaran hasil tanaman danpembangunan infrastruktur di Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu.
Selain itu, transformasi sektor pertanian melalui penggunaan teknologi moden seperti ‘smart farming’ dan ‘precision agriculture’ dilihat sebagai langkah penting untuk meningkatkan produktiviti serta menjadikan sektor tersebut lebih berdaya saing dan bernilai komersial.
Pendekatan bersepadu ini diyakini mampu meningkatkan pendapatan rakyat, memperkukuh sekuriti makanan negara serta memastikan kelestarian ekonomi negeri dalam jangka panjang.



























