KUALA TERENGGANU – Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Islam akan terus kekal dan tidak mampu dipadamkan walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang sejarah.
Menurut beliau, kebangkitan semula Islam akan diteruskan oleh generasi muda yang bakal menyambung perjuangan dalam menegakkan agama tersebut.
“Cahaya Islam tidak boleh dipadamkan kerana ia datang daripada Allah Ta’ala, dan ia akan kembali bersinar walau dalam apa jua keadaan,” katanya dalam satu ucapan pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat PAS Terengganu, di Dataran Shah Bandar, 16 April.
Beliau turut mengimbas sejarah negeri Terengganu yang disifatkan sebagai antara negeri terakhir dijajah dan antara yang terawal dimenangi PAS selepas kemerdekaan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa pentadbiran kerajaan negeri dilaksanakan mengikut kemampuan semasa, berlandaskan prinsip bahawa sesuatu yang tidak mampu dilakukan sepenuhnya tidak harus ditinggalkan keseluruhannya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus memberi kepercayaan kepada PAS bersama gabungannya dalam Perikatan Nasional bagi mengembalikan kedaulatan yang adil untuk semua.
Mengulas aspek perpaduan, beliau menekankan bahawa Islam mengajar manusia sebagai satu keluarga walaupun berbeza bangsa dan budaya, serta mengkritik penjajahan yang disifatkan sebagai punca perpecahan masyarakat.
Beliau turut berharap pilihan raya akan datang menjadi medan untuk mengeratkan silaturahim antara rakyat pelbagai kaum.





























