Isu Soft Porn Media Sosial Semakin Membimbangkan, Perlu Tindakan Menyeluruh

59
Nuridah Mohd Salleh

KUALA TERENGGANU– Penularan kandungan berunsur soft porn di media sosial kini dilihat sebagai satu gejala sosial yang semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan tegas serta menyeluruh daripada semua pihak.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Nuridah Salleh berkata, fenomena tersebut tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi apabila melibatkan golongan wanita dan remaja termasuk dalam institusi pendidikan tinggi.

Menurut beliau, isu ini bukan sekadar melibatkan individu, sebaliknya mencerminkan krisis nilai, kelemahan jati diri serta pengabaian terhadap prinsip agama dan norma masyarakat.

“Penularan kandungan tidak bermoral ini menunjukkan adanya kecenderungan sebahagian pihak mencari perhatian melalui cara yang tidak selari dengan nilai kesopanan, sekali gus membuka ruang kepada normalisasi budaya tidak sihat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menegaskan bahawa kebebasan berekspresi di media sosial perlu dibatasi dengan garis panduan agama, adab dan tanggungjawab sosial, agar tidak menjejaskan maruah diri serta keselamatan pengguna.

Tambahnya, jika tidak dibendung segera, trend ini boleh membawa kepada pelbagai risiko termasuk penurunan sensitiviti terhadap aurat, eksploitasi wanita serta peningkatan gangguan dalam talian.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa peranan organisasi wanita seperti Muslimat PAS amat penting dalam membimbing masyarakat khususnya wanita muda melalui pendekatan dakwah, pendidikan dan kesedaran yang berterusan.

“Pendekatan yang diambil perlu berteraskan kasih sayang dan empati, bukan semata-mata menghukum, di samping menjadikan media sosial sebagai platform menyebarkan nilai positif serta membina jati diri,” ujarnya.

Mengulas langkah penyelesaian, beliau menekankan keperluan tindakan tegas termasuk penguatkuasaan undang-undang terhadap penyebaran kandungan tidak bermoral, pengukuhan garis panduan etika di institusi pendidikan, serta kerjasama platform media sosial dalam menapis kandungan.

Selain itu, penglibatan ibu bapa dan masyarakat juga dianggap penting dalam memantau serta membimbing penggunaan media sosial dalam kalangan anak-anak.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan wanita muda agar lebih berhati-hati dan tidak menjadikan perhatian di media sosial sebagai ukuran nilai diri.

“Maruah diri lebih berharga daripada sebarang ‘likes’. Gunakan media sosial sebagai medium menyebarkan kebaikan, membina kredibiliti dan memperkukuh nilai diri berasaskan agama,” katanya.

Isu ini dilihat sebagai cabaran sosial semasa yang memerlukan pendekatan holistik merangkumi pendidikan, penguatkuasaan dan pembinaan sahsiah bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.