Oleh KAM
KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman kini semakin tertekan dengan ‘kata dua’ diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said kepadanya.
Meski pun, Ahmad Razif cuba menyembunyikan kegusaran itu dari pertanyaan media namun ‘badi’ kerusi panas Menteri Besar (MB) tersebut berlaku sejak mantannya, Dato’ Seri Idris Jusoh tahun 2008 lagi.
Dato’ Seri Ahmad Razif juga enggan lagi melayan sebarang kenyataan dan maklum balas yang dibuat Dato’ Seri Ahmad Said berhubung kedudukannya sebagai MB.
“Tak ada…kita dah tak ada isu dah. Kita sekarang ini kita tak ada isu. Apa yang orang (Ahmad Said) nak sebut itu sebutlah. Kita tak ada masa nak layan itu semua kerana yang utama sekarang ini ialah kebajikan rakyat perlu dijaga,
“kita terus bergerak kerana kita hanya (ada masa) empat tahun saja lagi untuk memastikan dan meletakkan Terengganu negeri yang maju pada tahun 2020,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas Majlis Pelantikan rasmi Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukan-Sukan Sukma XVIII Sarawak 2016, di Wisma darul Iman, 6 April lalu.
Bahkan, kata Razif terpulang kepada Adun Kijal itu bagi membuat tafsiran sendiri tentang kedudukan jawatan MB Terengganu yang kini disandangnya.
“Itu terpulang kepada dialah (Ahmad Said), itu tafsiran dialah. Saya tak ada apa sekarang ini terus bekerja dengan kepimpinan Exco (kerajaan negeri) yang ada dan kita tak akan hiraukan tentang perkara-perkara yang begini, kerana ini akan merugikan rakyat,” jelasnya.
Sebelum ini, Adun Kijal pada 2 April lalu mendakwa Ahmad Razif kini menghitung hari untuk diturunkan dari jawatan Menteri Besarnya.
Mantan MB Terengganu itu telah menyampaikan mesej kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk mengadap Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Jangan sampai Tuanku (Sultan) istihar bubar Dun, (jika bubar) habislah. Keadaan sekarang ini Umno kritikal, kalau (berlaku) pilihan raya habislah (Umno kalah), jangan main-main.


“Insya’Allah, saya rasa Menter Besar (Ahmad Razif) sekarang sedang menghitung hari,” tegasnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Kemaman Kali Ke-36, di Resort World Kijal, Kemaman pada 2 April lalu.
Malah, Ahmad Said mendakwa Razif juga merupakan salah seorang dalang yang terlibat dalam konspirasi menjatuhkannya sebagai MB Terengganu sebelum ini.
Sehubungan itu, Ahmad Razif yang juga Pengerusi Umno Terengganu turut mencabar Adun Kijal untuk mengistiharkan ‘perang’ jika beliau terus diasak.
“Jangan cabar saya! Ok kalau sama-sama nak buka (bongkar) kita buka. Sama-sama nak telanjang (dedah) kita telanjang…tetapi untuk (saya) mengalah tidak sama sekali kerana saya juga adalah keturunan darah pahlawan (Bugis),” tegasnya.
Menurut beliau, tidak teragak-agak untuk mengistiharkan perang jika berterusan diasak oleh Adun Kijal itu.
“Mula-mula memang cara baik tapi kalau ada orang cabar saya kena peranglah. Saya pun ada had kesabaran. Jangan tengok saya begini…maka, kata Menteri Besar penakut dan tak berani,” jelasnya ketika berucap merasmikan Bangunan Umno Cawangan Pekan Kertih, 7 April lalu.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman, Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar serta mantan Adun Kemasik, Dato’ Abu Bakar Ali.
Kemelut Umno Terengganu ini menjadi semakin ‘panas’ selepas cubaan Adun Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besarnya, Dato’ Seri Ahmad Razif pada Persidangan Dun Terengganu, 8 Mac lalu gagal.
Ahmad Razif ketika itu terselamat dari undi tidak percaya apabila Speaker Dun Terengganu, Dato’ Mohd Zubir Embong bertindak menolak usul tersebut.
Satu perjumpaan khas antara Setiausaha Agung Umno, Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman telah diadakan di Kota Bharu, Kelantan pada 8 April lalu.




























