Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Terengganu Meriah Bermula Seawal Pagi

316

KUALA TERENGGANU, 16 April – Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Terengganu yang berlangsung di Dataran Shahbandar hari ini berlangsung meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk wakil Persatuan OKU Pekak dari seawal jam 10 pagi.

Pengarah program, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, penganjuran majlis tersebut merupakan tanda kesyukuran atas taufik dan hidayah Allah SWT, meskipun berdepan situasi ekonomi dan perkembangan politik semasa yang mencabar.

Beliau menjelaskan, majlis itu tetap diteruskan atas kesedaran dan keinsafan untuk meraikan umat Islam yang telah menunaikan ibadah puasa sepanjang Ramadan, di samping memberi ruang kepada golongan kurang berkemampuan merasai kemeriahan Aidilfitri.

“Kita bertemu atas asas ukhuwah, mengeratkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pengunjung agar mengambil makanan secara sederhana dan mengelakkan pembaziran.

“Makan dan minumlah dengan tertib, ambil sekadar mencukupi dan jangan membazir,” ujarnya.

Beliau juga menyeru pengunjung menjaga kebersihan kawasan sepanjang program berlangsung, selain merakamkan penghargaan kepada semua petugas termasuk unit keselamatan, Jabatan Amal, Muslimat serta Pemuda yang bertungkus-lumus menjayakan majlis tersebut.

Walaupun kehadiran pengunjung agak ramai sehingga kawasan terasa padat, suasana tetap terkawal dan harmoni dengan kerjasama semua pihak.

Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai juadah tradisional dari setiap kawasan antaranya nasi dagang dan apam balik dari Kuala Terengganu, nasi kerabu bersama ayam golek dari Besut, serta hidangan seperti mee goreng talam, keropok, nasi minyak dan gulai dari kawasan lain termasuk Dungun, Marang, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman.

Tambah beliau, program ini juga memberi peluang kepada orang ramai untuk bertemu kepimpinan PAS Terengganu dalam suasana santai bermula jam 11 pagi.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh masyarakat untuk terus hadir memeriahkan majlis tersebut sebagai platform memperkukuh hubungan dan kebersamaan dalam komuniti.