Muslimat Tunjang Kekuatan Parti, Perkukuh Saf Hadapi PRU16

99

Oleh : Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar

SETIU – Peranan Muslimat sebagai tunjang utama dalam memperkukuh kekuatan parti terus diberi penekanan dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang semakin hampir.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu YB Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir menegaskan, seluruh jentera parti perlu memperkasakan kesatuan dan meningkatkan kesungguhan dalam gerak kerja bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap terbaik.

Menurut beliau, kekuatan sesebuah jemaah bermula daripada pengurusan organisasi yang mantap di peringkat akar umbi, khususnya di cawangan dan sayap parti termasuk Muslimat.

“Muslimat merupakan tunjang penting dalam gerak kerja parti. Kesiapsiagaan mereka serta kesatuan yang utuh mampu menjadi faktor penentu dalam memperkukuh kekuatan di peringkat DUN dan Parlimen,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Berkelompok Mesyuarat Agung Tahunan Muslimat PAS DUN Langkap dan Mesyuarat Agung PAS Cawangan Kampung Bari, pada 10 April lalu.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pengukuhan di peringkat cawangan merupakan tulang belakang utama parti dalam mendepani cabaran politik semasa.

“Apabila akar umbi kukuh, segala cabaran dapat dihadapi dengan lebih tersusun dan berkesan.

“Justeru, komitmen setiap ahli amat penting bagi memastikan perjuangan parti terus relevan,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar siri mesyuarat agung yang berlangsung menjadi medan penyelarasan strategi dan pengukuhan organisasi, selain mendoakan agar segala usaha dipermudahkan serta diberkati dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.