30 Anggota Jabatan Amal Bertugas Kawal Keselamatan Majlis

30
Hasmizi Hassan

KUALA TERENGGANU – Seramai 30 anggota Jabatan Amal Terengganu telah ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran sepanjang berlangsungnya Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat PAS Terengganu.

Ketua Jabatan Amal Terengganu, Mohd Hasmizie Hasan berkata, penugasan tersebut bermula seawal jam 7.30 pagi hingga 3.00 petang.

“Tugasan utama kami kali ini adalah memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan lalu lintas sepanjang majlis berlangsung.

“Kami bekerja bukan mengharapkan sebarang bayaran, sebaliknya atas dasar tanggungjawab dan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat,” jelasnya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat PAS Terengganu, pada 16 April.

Menurut beliau, anggota Jabatan Amal sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga dan boleh digerakkan pada bila-bila masa, sama ada untuk tugasan berkaitan parti mahupun membantu masyarakat ketika berlakunya bencana.

Tambahnya lagi, semangat sukarela dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh anggota Amal membuktikan kesediaan mereka dalam memikul amanah demi kesejahteraan masyarakat.