Kenaikan Harga Diesel Isu Penting, Tekan Kos Sara Hidup Rakyat

467
Nik Mazli Mat Yusof

BESUT – Kenaikan harga diesel dalam tempoh singkat disifatkan sebagai antara isu penting yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Besut, Nik Mazli Mat Yusof berkata, kenaikan harga bahan api itu memberi kesan langsung kepada peningkatan kos pengangkutan yang seterusnya mendorong kenaikan harga barangan keperluan harian.

Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan tekanan kos sara hidup semakin dirasai, terutama dalam kalangan golongan B40 dan M40 yang sedia berdepan cabaran ekonomi.

“Peniaga kecil, nelayan, petani serta pekerja harian antara yang paling terkesan apabila margin pendapatan mereka semakin mengecil akibat peningkatan kos operasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menjelaskan, kesan kenaikan diesel bukan sahaja terbatas kepada sektor tertentu, malah memberi impak rantaian kepada keseluruhan ekonomi rakyat termasuk sektor logistik dan bekalan makanan.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai pendekatan berbeza kerajaan dalam pelaksanaan subsidi diesel antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Katanya, walaupun kerajaan memberi alasan penyasaran subsidi bagi mengelakkan ketirisan, perbezaan dasar tersebut menimbulkan persepsi ketidakadilan dalam kalangan rakyat di Semenanjung.

“Tambahan pula, kenaikan harga yang berlaku secara mendadak dalam tempoh singkat menyebabkan rakyat tidak sempat menyesuaikan perbelanjaan harian mereka,” ujarnya.

Menurut beliau, rakyat juga mempersoalkan kenaikan harga barangan yang berlaku segera walaupun sebahagian peniaga masih mempunyai stok lama yang dibeli pada harga lebih rendah.

Sehubungan itu, Nik Mazli menegaskan bahawa isu kenaikan harga diesel bukan sekadar melibatkan aspek ekonomi semata-mata, sebaliknya turut menyentuh soal keadilan dasar dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

“Rakyat boleh menerima rasionalisasi subsidi sekiranya ia dilaksanakan secara berperingkat, telus dan adil, serta disertai mekanisme kawalan harga yang berkesan bagi mengelakkan manipulasi,” katanya.