Bismillah. Saya suka makan nasi dagang. Khabarnya nasi dagang itu sebenarnya resepi orang dagang yang datang ke Terengganu. Dikatakan juga orang dagang itu ialah keturunan Bugis yang secara tidak sengaja telah mencipta resepi itu. Bermakna orang Terengganu sebenarnya ada berketurunan Bugis jika diikutkan kepada sejarah nasi dagang ini. Mulanya saya tidak mahu ambil kisah siapapun yang berketurunan mana kerana kita semua bersaudara sebagai orang Islam dan Allah menciptakan berbagai bangsa bagi kita saling mengenali antara satau sama lain.
Tetapi semalam keinginan saya mengetahui dengan lebih sedikit mengenai keturunan Bugis ini menjadi sedikit teruja kerana apabila membaca berita ada orang saling mencabar untuk telanjang menelanjangi satu sama lain sambil membangkit-bangkit keturunan. Dan agak menarik apabila ada yang mendakwa sebagai keturunan pahlawan Bugis, mungkin bermaksud dia sangat handal dalam hal menelanjangi orang atau juga sangat arif dalam hal berbalas dendam. Saya tegaskan saya tak berselera dengan perbalahan dalaman diantara MB sekarang dengan bekas MB. Tetapi sekali lagi saya tegaskan, saya akan masuk campur atas dasar melindungi hak dan kepentingan rakyat jelata yang saya percaya semakin muak dan mual dengan kisah dendam mereka berdua ini.
Semalam Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (DSAR) menyatakan bahawa beliau tidak akan mengalah jika sekiranya dia dicabar. Beliau sanggup menelanjangi lawannya jika itu yang dikehendaki Dato’ Seri Ahmad Said (DSAS). Lebih dari itu, beliau juga telah mengisytiharkan tahun ini tahun perang walaupun terpaksa berperang sesama sendiri. Begitulah tegarnya semangat melawan keturunan pahlawan Bugis ini. Apabila saya membaca kenyataan DSAR ini, datang terlintas di fikiran saya, jika begitu, bermakna memang betul DSAR ada membuat onar dalam pemerintahannya dan DSAS juga ada berbuat perkara tidak betul sepanjang DSAS memegang tampuk pemerintahan?
DSAR masih lagi tidak menafikan beberapa tuduhan DSAS yang dikemukakan dalam Dun tahun lepas berkenaan seperti siapa yang membiayai bilik di sebuah hotel di Kuala Terengganu yang dijadikan pejabat operasi oleh abangnya Azmi Abdul Rahman, kaitan dengan syarikat yang bernama NSR dan beberapa hal lagi. Kini DSAS dilaporkan akan mendedahkan lagi perbuatan DSAR yang dakwa beliau perbuatan itu boleh merugikan kerajaan negeri dan rakyat. Malang bagi rakyat Terengganu, kerana sehingga kini kita boleh menganggap bahawa DSAR sememangnya telah melakukan perbuatan itu kerana beliau bukan sahaja tidak menafikan (sememangnya jika DSAR tidak pernah melakukan kesalahan khianat, maka DSAR mesti terus menafikannya kerana pastinya beliau tahu beliau tidak melakukannya walaupun orang belum menyatakan apakah isu itu) malah berkata beliau akan turut melondehkan DSAS. Maka jelas ini bermaksud kedua-duanya yang dulu dan kini masih menjadi ahli Umno itu, melakukan beberapa perilaku yang mengaibkan ketika memerintah Terengganu, sekaligus menjadi senjata kepada dua-dua pihak bagi mengugut lawan masing-masing.
Saya mengharapkan agar rakyat berfikir dengan semasak-masaknya isu perbalahan dua personaliti ini yang jelas membuktikan kepada kita, majoriti orang Umno yang berkepentingan, selalunya akan ada cerita kurang enak di belakang mereka. Hal ini akan berterusan sehingga bila-bila jika dasar Umno tidak diubah. Benar, bukan masalah kita semua perbalahan dalaman mereka itu, tetapi kesan kepada rakyat ialah kerana merekalah yang memegang pemerintahan dan menguasai rakyat. Untuk menghapuskan kegusaran rakyat kerana perbalahan mereka ini, maka sama-samalah kita membuang Umno keluar dari menjadi pemerintah dan menggantikan mereka dengan Parti Islam Semalaysia (PAS) yang sentiasa beristiqamah berjalan di atas landasan Islam. Allahua’lam.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
30 Jamadilakhir 1437 bersamaan 8hb April 2016



























