KUALA TERENGGANU – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Terengganu pada hari ini melakar satu penanda aras keharmonian apabila ia bukan sahaja dihadiri oleh umat Islam, malah turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam di negeri ini.
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, majlis yang berlangsung seawal 10 pagi di Dataran Shahbandar itu merupakan manifestasi sebenar keindahan kebersamaan masyarakat berbilang kaum di Terengganu.
Menurut beliau, sambutan anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu itu amat unik kerana ia bukan sekadar sebuah perayaan, tetapi menjadi ruang yang utuh untuk mengukuhkan silaturahim antara kaum.
“Kita dapat hidup bersama, saling memahami, dan mewujudkan keharmonian yang kita semua inginkan. Inilah keindahan Terengganu.
“Di Terengganu, Islam wajib memimpin perpaduan supaya kita dapat menikmati keadilan yang saksama, keharmonian, dan kedamaian yang sentiasa kita dambakan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis yang turut diserikan dengan kehadiran orang awam daripada pelbagai lapisan, termasuk wakil daripada Hindu Sangam Terengganu, Dewan Perniagaan Cina Terengganu, Persatuan Hokkien Terengganu, dan Persatuan Buddha Terengganu.


Suasana muhibah di dataran tersebut nyata meriah dengan gelak tawa dan pertemuan mesra para tetamu yang asyik menikmati pelbagai juadah istimewa, dari hidangan tradisional sehinggalah pilihan moden.
Perbezaan latar belakang jelas tidak menjadi pemisah, sebaliknya menjadi kekuatan dalam membina masyarakat majmuk yang bersatu padu.
Menyentuh mengenai erti sebenar perayaan, beliau menekankan bahawa kemeriahan harus bermula dari dalam diri setiap individu.
“Kita wujudkan kedamaian, kita wujudkan keharmonian dan tunjukkan kepada mereka bahawa duit (wang) bukan satu-satunya perkara untuk memberi kita ketenangan.
“Kita nak ketenangan jiwa, kita nak keharmonian, kita nak kebebasan dan kita nak ruang untuk kita sama-sama maju bersama,” tegasnya.
Mengakhiri bicaranya, Dr Balachandran turut mengambil kesempatan mewakili seluruh ahli jawatankuasanya untuk menitipkan ucapan lebaran.
“Bagi pihak Dewan Himpunan Pendukung PAS Negeri Terengganu, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua,” katanya.































