PAS Tunaikan Janji Manifesto

1868

Oleh : Khairan Mat Jusoh

MARANG – Selepas memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, kerajaan Negeri Terengganu yang ditadbir oleh Parti Islam Semalaysia (PAS) akan menunaikan semua janji manifestonya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan Ustaz Sulaiman Sulong berkata, antaranya adalah janji untuk memberikan tanah kepada rakyat

“Ketika berkempen hari itu, kita berjanji untuk mengembalikan tanah-tanah rakyat yang telah dirampas, yang hari ini dikenali sebagai “tanah terkilan” oleh pejabat tanah.

“Maka hari ini kita berjanji akan mengembalikannya semula…apa yang kita janjikan, insya Allah akan kita tunaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian program taklimat i-suri bagi zon ke-2 di dewan sivik Wakaf Tapai pada pagi tadi, 31 Oktober.

Katanya, permohonan untuk mendapatkan semula tanah yang telah dirampas pada zaman pemerintahan Umno telah dibuka.

“Kita juga berjanji untuk memberikan satu lot tapak rumah kepada setiap rakyat Terengganu yang berumur 21 tahun ke atas.

“Pemohon boleh membuat permohonan mulai sekarang dengan mengisi borang yang terdapat di pejabat tanah Daerah itu,” ujarnya.

Menurutnya, PAS telah berjanji untuk menubuhkan Sekolah Rendah Islam (SRI) di bawah pentadbiran kerajaan negeri di setiap DUN.

Tambah Sulaiman, pendaftaran SRI dibuka bermula 1 November sehiingga 30 November 2018 dan borang permohonan boleh diambil serta dihantar ke Pejabat Agama Kuala Terengganu.

“Seterusnya, wad kelas tiga percuma dan lesen motorsikal untuk orang muda akan dilaksanakan pada tahun hadapan (2019).

“Dan lain-lain lagi janji yang dinyatakan di dalam manifesto akan ditunaikan, insya Allah.” jelasnya.

Turut hadir sama ialah Ketua Perkhidmatan KWSP Kuala Terengganu Haji Mohd Sabri Bin Husin dan Pegawai Kaunselor Kewangan AKPK En. Alias Mat Ali.