Jangan Wariskan Negara Maju Tapi Masyarakat Berpecah Belah

22

KUALA TERENGGANU – Generasi hari ini tidak seharusnya hanya mengejar kemajuan teknologi dan pembangunan fizikal, sebaliknya perlu memastikan kemajuan tersebut berjalan seiring dengan akhlak, jati diri, ilmu dan perpaduan masyarakat.

Penolong Setiausaha Dewan As-Sabiqun PAS Negeri Terengganu, Ustaz Zakaria Dagang berkata, pengalaman generasi terdahulu melalui kehidupan yang serba sederhana sehingga menyaksikan Malaysia berkembang menjadi sebuah negara maju perlu dijadikan pengajaran oleh generasi muda.

Menurutnya, perubahan paling besar sejak awal kemerdekaan bukan sahaja dapat dilihat melalui kemajuan teknologi, ekonomi, pendidikan dan kemudahan hidup, malah turut mengubah cara manusia berfikir, berkomunikasi dan membentuk kehidupan.

“Dahulu kita membina negara dengan tangan. Hari ini kita membina negara dengan ilmu, teknologi dan pemikiran. Tetapi jangan sampai kita membina bangunan yang tinggi sedangkan akhlak dan jati diri semakin rendah,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah, kemudahan digital seperti internet, telefon pintar, media sosial dan kecerdasan buatan (AI) memberikan akses ilmu yang jauh lebih luas kepada generasi muda, namun pada masa sama membawa cabaran besar terhadap pembentukan nilai dan keperibadian.

Katanya, antara nilai yang semakin terhakis ialah rasa hormat kepada orang tua dan guru, semangat gotong-royong, kesabaran, ketahanan diri, tanggungjawab kepada masyarakat serta jati diri dan pegangan agama.

“Generasi terdahulu mungkin tidak mempunyai telefon pintar, tetapi mereka mempunyai hubungan manusia yang pintar. Mereka tidak mempunyai Google, tetapi mereka mempunyai guru. Mereka tidak mempunyai media sosial, tetapi mereka mempunyai masyarakat,” ujarnya.

Ustaz Zakaria turut mengingatkan bahawa kemerdekaan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang automatik dan kekal kerana ia perlu dipelihara serta diisi dengan tanggungjawab.

Menurutnya, generasi muda perlu memahami sejarah perjuangan negara dan tidak hanya mengenali 31 Ogos sebagai tarikh sambutan Hari Kebangsaan.

“Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan. Kita juga mesti bebas daripada kejahilan, rasuah, perpecahan, kemiskinan pemikiran dan penjajahan budaya yang merosakkan jati diri,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat agar menggunakan kebebasan secara bertanggungjawab, khususnya dalam media sosial, dengan tidak menjadikan kebebasan bersuara sebagai ruang untuk memfitnah, menghina atau memecah-belahkan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pemimpin perlu melihat pembangunan negara dalam tempoh jangka panjang dan bukan sekadar berorientasikan pilihan raya lima tahun sekali.

“Jangan wariskan negara yang lebih maju tetapi masyarakat yang lebih berpecah.

“Kita mungkin berbeza pandangan tentang bagaimana Malaysia hendak dibangunkan, tetapi kita mesti sepakat tentang Malaysia yang hendak kita wariskan,” katanya.

Ustaz Zakaria menambah, generasi terdahulu tidak mahu anak muda mewarisi kesusahan yang pernah mereka lalui, namun kemewahan dan kemajuan juga tidak boleh diwariskan tanpa nilai yang menjadi asas kekuatan negara.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Dewan As-Sabiqun PAS Negeri Terengganu melaksanakan beberapa program sempena Bulan Kebangsaan, antaranya Bicara Merdeka As-Sabiqun, Ziarah Patriotik, Gotong-Royong Merdeka, program “As-Sabiqun Berkongsi Sejarah”, kunjungan ke tempat bersejarah serta Doa Kesyukuran dan Munajat Malaysia.

“Wariskan kepada anak cucu sebuah negara yang merdeka, aman, berdaulat, berakhlak, maju dan bersatu.

“Kemajuan mesti bersama akhlak, kebebasan mesti bersama tanggungjawab, dan kemerdekaan mesti bersama amanah,” tambah beliau.