Merdeka Bukan Hanya Sekadar Kibar Jalur Gemilang

67

KUALA TERENGGANU- Kemerdekaan bukan hanya sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan dalam menjaga keamanan, menghormati undang-undang, membantu masyarakat dan mempertahankan maruah negara mengikut acuan Islam.

Penolong Setiausaha Dewan As-Sabiqun Negeri Terengganu, Ustaz Zakaria Dagang berkata, kemerdekaan ialah nikmat besar yang wajib disyukuri dan dipelihara dengan sebaik-baiknya.

“Dalam Islam, nikmat kemerdekaan perlu disyukuri dan dipelihara. Kemerdekaan hendaklah membawa kepada kedaulatan, keamanan, keadilan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Urusan As-Sabiqun Kuala Nerus berkata
merdeka bukan bermaksud bebas tanpa batas kerana kemerdekaan tidak boleh ditafsirkan sebagai kebebasan melakukan apa sahaja.

“Kita bebas, tetapi tetap terikat dengan agama, Perlembagaan, undang-undang, adab dan tanggungjawab sebagai rakyat.

” Jangan sampai merdeka daripada penjajahan asing tetapi dijajah oleh budaya hedonisme, materialisme, rasuah, ketagihan media sosial dan pemikiran yang merosakkan,” katanya.

Tegasnya, patriotisme mesti berasaskan tindakan dengan memastikan keamanan terus terpelihara dan mennadi rakyat yang bertanggungjawab.
“Termasuk menjaga kebersihan, membantu masyarakat dan mempertahankan maruah negara.

” Lebih penting, jangan rosakkan negara kerana kepentingan diri atau kelompok tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, anak-anak perlu diajar sejarah perjuangan kemerdekaan dengan menceritakan pengorbanan generasi terdahulu serta membawa mereka ke muzium, tapak sejarah dan program kemerdekaan.

“Veteran seperti As-Sabiqun mempunyai peranan besar kerana mempunyai pengalaman hidup yang boleh dikongsi dengan generasi muda,” katanya.

Katanya, antara program yang dicadangkan untuk dilaksanakan oleh As-Sabiqun ialah Bicara Merdeka As-Sabiqun bertemakan “Merdeka: Dari Generasi Terdahulu Kepada Generasi Pewaris”.

Selain itu katanya, Ziarah Patriotik melibatkan ziarah veteran, warga emas kurang kemampuan dan tokoh masyarakat; Gotong Royong Merdeka dengan membersihkan masjid, surau, tanah perkuburan atau kawasan kampung; Program “As-Sabiqun Berkongsi Sejarah”; kunjungan ke tempat bersejarah serta Doa Kesyukuran dan Munajat Malaysia.

Menyentuh harapan dan masa depan negara selepas 69 tahun merdeka, beliau berkata, Malaysia perlu menjadi negara yang lebih bersatu, bersih daripada rasuah, mempunyai ekonomi yang memberikan kehidupan bermaruah serta sistem pendidikan yang membina manusia dan bukan sekadar pekerja.

“Malaysia mesti menjadi negara yang kuat identitinya, generasi muda mesti diberi ruang dan Malaysia mesti menjadi negara yang dihormati.

“Adalah menjadi harapan agar Malaysia menjadi negara yang berdaulat, ekonomi yang kukuh, pentadbiran yang bersih, masyarakat yang bersatu, rakyat yang berilmu, generasi muda yang berakhlak, dan agama serta identiti negara terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata, selepas 69 tahun merdeka, rakyat tidak seharusnya hanya bertanya apa yang negara telah berikan kepada mereka, sebaliknya perlu bertanya apa yang telah diberikan kepada negara.

“Generasi terdahulu telah berjuang mendapatkan kemerdekaan. Tanggungjawab generasi hari ini ialah mempertahankannya, manakala generasi akan datang mesti memastikan kemerdekaan itu membawa Malaysia menjadi negara yang lebih adil, aman, bermaruah dan sejahtera,” jelas beliau.

Tambah beliau, As-Sabiqun mungkin bukan lagi generasi yang berada di barisan hadapan dari segi tenaga, namun masih mempunyai pengalaman, sejarah dan nasihat untuk disumbangkan.

“Tugas As-Sabiqun bukan bersara daripada perjuangan; tugas kami ialah memastikan obor perjuangan sampai kepada generasi pewaris,” tegas beliau.