Araghchi Dakwa Sekatan AS Adalah ‘Keganasan Ekonomi”

2

’Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mengecam langkah baharu Amerika Syarikat (AS) untuk memperketat tekanan ekonomi terhadap Tehran, dengan menyifatkannya sebagai “keganasan ekonomi” yang bukan sahaja mengancam Iran tetapi juga ekonomi global dan kedaulatan negara lain.

Kenyataan itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan apa yang disifatkannya sebagai “Economic D-Day” terhadap Iran, termasuk ancaman tindakan ekonomi berat terhadap mana-mana negara yang terus menyediakan bantuan kewangan atau saluran perdagangan kepada Tehran.

Araghchi dalam kenyataan di platform X berkata tindakan terbaharu Washington merupakan kesinambungan dasar yang menurutnya telah gagal mencapai matlamatnya.

“Apa yang dipanggil ‘Economic D-Day’ itu adalah satu usaha mengalihkan perhatian daripada krisis Amerika sendiri: hutang yang belum pernah berlaku sebelum ini dan peningkatan kos faedah,” katanya.

Beliau kemudian memberi amaran bahawa peningkatan tekanan terhadap Tehran hanya akan membawa kepada lebih banyak kegagalan Washington serta meningkatkan permusuhan rakyat Iran terhadap AS.

“Meneruskan dasar yang gagal hanya akan membawa kepada kekalahan selanjutnya dan permusuhan rakyat Iran.” tegas Araghchi dan menambah “Keganasan ekonomi AS mengancam ekonomi global dan kedaulatan negara-negara di seluruh dunia.”

Trump ancam negara yang bantu Iran

Trump sebelum ini mengumumkan kempen tekanan ekonomi baharu terhadap Iran yang digambarkannya sebagai “economic warfare and isolation on an unprecedented scale.”

Beliau memberi amaran bahawa negara yang membenarkan institusi kewangan, syarikat, lapangan terbang atau entiti kerajaan mereka menyediakan apa yang dianggap sebagai “talian hayat” ekonomi kepada Iran akan berdepan “tremendous economic consequences.”

Trump turut mengarahkan perhatian kepada aktiviti seperti penyeludupan minyak, rangkaian pertukaran kewangan, pemindahan wang, syarikat hadapan dan pendaftaran kapal yang menurut Washington membantu Iran mengatasi sekatan.

Tehran: Tekanan ekonomi tidak akan memaksa Iran
Iran bagaimanapun menolak pendekatan tersebut dan menganggapnya sebagai satu lagi percubaan Washington untuk memaksa Tehran tunduk melalui tekanan ekonomi.

Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, turut menyifatkan tindakan Washington sebagai “economic war” selepas AS gagal mencapai matlamatnya melalui tekanan ketenteraan.

“Perang ketenteraan gagal mencapai matlamatnya, dan kini mereka menamakan kegagalan seterusnya sebagai ‘perang ekonomi’,” katanya.

Pertikaian itu berlaku ketika hubungan AS-Iran terus tegang dan rundingan antara kedua-dua pihak menghadapi kebuntuan.

Ancaman sekatan baharu turut menimbulkan kebimbangan terhadap perdagangan minyak dan kestabilan ekonomi antarabangsa, khususnya berikutan ketegangan di sekitar Selat Hormuz, laluan penting perdagangan tenaga dunia.