BESUT – PAS Kawasan Besut mendesak kerajaan Persekutuan mengambil langkah lebih tegas dan menyeluruh berhubung isu Tabung Haji termasuk mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memastikan perkara itu disiasat secara telus.
Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, siasatan perlu dilakukan secara komprehensif memandangkan ia melibatkan wang pencarum dan kepentingan institusi Tabung Haji.
Menurutnya, kerajaan tidak seharusnya sekadar memberikan taklimat berhubung kertas putih atau isu berkenaan tanpa langkah susulan yang jelas bagi menyelesaikan persoalan yang dibangkitkan.
“Bila kehilangan dah berlaku, mesti satu siasatan yang komprehensif diambil. Kita nak tahu berapa orang terlibat, berapa jumlahnya, akaun pencarum yang terlibat dan bagaimana langkah kerajaan untuk menggantikan semula wang tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Muktamar PAS Kawasan Besut, di Dewan Gong Kemuntong, jumaat.
Mohd Nurkhuzaini menambah, jaminan kerajaan untuk mengembalikan wang yang hilang sekiranya terbukti melibatkan dana pencarum juga penting bagi memberi keyakinan kepada pendeposit Tabung Haji.
Katanya, kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan dalam menangani isu berkenaan dan tidak membiarkannya berlalu hanya sebagai isu yang dibincangkan sepintas lalu.
“Kita bukan kira siapa duduk blok mana atau puak mana. Tetapi apabila melakukan kesalahan, tindakan perlu diambil. Individu yang terbabit perlu berdepan dengan tindakan sewajarnya,” jelasnya.
Mohd Nurkhuzaini berkata, ketelusan dan keikhlasan daripada pucuk pimpinan kerajaan amat diperlukan bukan sahaja dalam isu Tabung Haji, malah dalam menangani sebarang isu yang melibatkan kepentingan rakyat.
Beliau turut mempersoalkan mengapa perkara berkaitan RCI tidak diberikan keutamaan sekiranya kerajaan benar-benar melihat isu berkenaan sebagai sesuatu yang penting.
“Kalau kita rasa RCI itu penting, pembedahan boleh dibuat esok atau kelmarin. Itulah yang menunjukkan keseriusan. Kita yang menentukan keutamaan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih jelas supaya siasatan dan tindakan terhadap isu berkenaan tidak dilihat sekadar sebagai proses politik, sebaliknya usaha memastikan akauntabiliti serta melindungi kepentingan pencarum Tabung Haji.




























