Muslimat PAS Digesa Perkukuh Peranan Hadapi PRU-16

230

KUALA TERENGGANU – Peranan Muslimat dalam perjuangan politik Islam semakin penting menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, khususnya apabila data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan wanita kini membentuk 50.17 peratus pengundi berdaftar, berbanding 49.83 peratus lelaki.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh berkata, hakikat ini meletakkan Muslimat PAS berdepan cabaran besar untuk tampil sebagai penggerak masyarakat, pencorak suara rakyat dan agen perubahan berlandaskan syariat.

“Perjuangan politik menegakkan Islam di Malaysia mesti digerakkan dalam kerangka demokrasi tanpa melanggar batas syariat.

Sejak dahulu, Muslimat PAS bukan sekadar penyokong, tetapi tulang belakang gerakan yang membina jaringan masyarakat dan menyuarakan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ucaptama Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia di Kedah, semalam.

Menurut beliau, wakil rakyat Muslimat di parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah membuktikan kematangan dalam membawa suara wanita dan masyarakat, menegaskan peranan lelaki dan wanita beriman saling membantu menegakkan kebaikan.

“Menuju PRU16, Muslimat mesti melangkah lebih jauh dengan strategi membina hubungan luas bersama pelbagai segmen masyarakat.

“Kita mesti tampil sebagai negarawan yang membawa mesej Islam secara hikmah, tegas dan penuh kasih sayang,” jelasnya.

Justeru itu, beliau turut mengingatkan Muslimat agar sentiasa bersabar dalam perjuangan, menempuh cabaran dengan keikhlasan kerana Allah dan beristiqamah demi memastikan Islam terus memimpin masyarakat.