Isu Royalti Bukan Sekadar Bayaran Wang, Tetapi Hak Negeri

25

KUALA TERENGGANU – Isu royalti petroleum tidak boleh dilihat sekadar soal “dibayar atau tidak”, sebaliknya melibatkan hak mutlak negeri yang perlu diserahkan sepenuhnya tanpa kawalan pihak lain.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Penerangan PAS Terengganu, Ahmad Fahmi Mokhtar berkata, terdapat salah faham dalam kalangan segelintir pihak yang menganggap tidak menjadi masalah apabila kerajaan pusat tetap menyalurkan bayaran walaupun tidak sepenuhnya.

Menurut beliau, keadaan itu boleh diibaratkan seperti seseorang yang menerima gaji RM1,500 tetapi hanya diberikan separuh, manakala baki selebihnya dipegang oleh majikan dan setiap perbelanjaan perlu mendapat kebenaran.

“Seolah-olah kita mendapat gaji RM1,500, sedangkan nilai royalti mencecah RM1.5 bilion. Kita terima RM1,500 dan daripada jumlah itu kita gunakan untuk bayar rumah, kereta serta keperluan harian seperti membeli ikan dan sayur.

“Tiba-tiba suatu hari majikan memaklumkan hanya RM750 dimasukkan, manakala selebihnya dipegang. Jika mahu membeli keperluan, perlu memohon terlebih dahulu.

“Kita ke pasar untuk membeli dua kilogram ikan selayang berharga RM25, tetapi apabila dimaklumkan kepada majikan, dia pula menentukan pilihan dengan mengatakan cukup sekadar beli ikan bilis setengah kilogram,” jelasnya dalam program Slot Eh Studio pada Isnin.

Menurutnya, walaupun wang tersebut adalah milik kerajaan PAS Terengganu, namun negeri tidak mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mengurusnya.

Katanya, setiap perbelanjaan perlu dipohon dan keputusan akhirnya ditentukan oleh pihak lain.

Beliau menjelaskan, situasi itu menggambarkan realiti yang dihadapi negeri apabila hak royalti tidak diserahkan sepenuhnya, sekali gus mengehadkan keupayaan kerajaan negeri merancang pembangunan serta kebajikan rakyat.

Tambahnya, royalti petroleum merupakan hak negeri berdasarkan peruntukan undang-undang dan bukan satu bentuk ihsan atau bantuan daripada kerajaan pusat.

“Isunya bukan sekadar sama ada wang itu disalurkan atau tidak, tetapi soal hak negeri dan hak rakyat yang sepatutnya diberikan sepenuhnya untuk diurus oleh kerajaan negeri.

“Itu hak kerajaan negeri, hak rakyat Terengganu yang diamanahkan kepada kami untuk diurus sebaiknya. Mengapa perlu ada pihak lain menentukan cara kami berbelanja?

“Jika gaji saya RM1,500, biarlah saya yang mengurus keperluan keluarga termasuk makanan, tempat tinggal dan kenderaan.

“Siapa pihak lain untuk menentukan apa yang anak saya makan, apa keperluan keluarga saya atau bagaimana saya harus menjalani kehidupan,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri lebih memahami keutamaan dan keperluan rakyat, justeru tidak wajar wujud campur tangan dalam menentukan bagaimana hasil tersebut dibelanjakan.