Oleh: Syahir Sulaiman
Terpanggil untuk mengulas kenyataan Setiausaha Politik Menteri Kewangan merangkap Ketua AMK yang meminta agar isu royalti petroleum tidak dijadikan modal politik murahan.
Sayugia diingatkan, pendirian Terengganu dan Kelantan setiap kali membangkitkan isu royalti petroleum adalah berpedomankan kepada dua rujukan utama, iaitu:
1. Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144); dan
2. Perjanjian Penyerahan Hak yang ditandatangani antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS pada 9 Mei 1975.
Secara nas undang-undang yang jelas, Seksyen 4 Akta 144 dan Klausa 1(1) Perjanjian Penyerahan Hak 1975 menetapkan bahawa pembayaran tunai tahunan sebanyak 5% hendaklah dibuat terus kepada Kerajaan Negeri.
Adapun ‘kitab’ Manifesto Pakatan Harapan tidaklah menjadi rujukan di pihak kami.
Dalam hal ini, saranan YAB Menteri Besar Terengganu dan Kelantan wajar diberi perhatian.
1. Semua pihak kembali kepada tafsiran asal Akta Pembangunan Petroleum 1974 dengan bayaran 5% royalti dibuat secara telus dan terus oleh PETRONAS kepada Kerajaan Negeri; dan
2. Tafsiran berkaitan isu wilayah laut serta had tiga batu nautika perlu diperhalusi agar selaras dengan semangat Akta Wilayah Laut 2012 dan hak sempadan negeri yang dijamin.
Difahamkan usaha telah diambil oleh Menteri-Menteri daripada PAS dalam pentadbiran terdahulu untuk memperhalusi dan ‘memurnikan’ tafsiran had tiga batu nautika ini secara muktamad, dan telah sampai ke peringkat akhir.
Malah di bawah pentadbiran Pagoh dan Bera, wang royalti disalurkan secara telus dan terus kepada Terengganu dan Kelantan, seperti dijadualkan.
Namun, langkah memuktamadkan tafsiran tersebut tergendala apabila Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022 bagi memberi laluan kepada PRU15 yang lebih awal.
Berhubung dakwaan kononnya wujudnya risiko ketirisan dan penyelewengan di pihak Kerajaan Negeri, tiada apa yang perlu ditakutkan.
Setiap wang yang diterima dan dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri adalah tertakluk kepada tatakelola pengurusan kewangan serta proses audit yang terbuka.
Malah setiap butiran hasil dan perbelanjaan akan dimasukkan dalam Belanjawan Tahunan Negeri, dibentang dan dibahaskan dalam sidang DUN untuk diluluskan, serta dibelanjakan mengikut prosedur serta pekeliling kewangan yang ditetapkan.
Dalam semangat yang sama, isu peruntukan Parlimen tidak boleh diabaikan, termasuklah peruntukan kepada kawasan Parlimen pembangkang yang masih terhalang.
Hakikatnya, permohonan yang paling kerap diterima adalah bantuan kebajikan, projek mesra rakyat, dan sumbangan kepada persatuan penduduk.
Inilah realiti yang dihadapi wakil rakyat, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, setiap hari.
Sewajarnya, peruntukan sebegini disalurkan secara adil dan saksama di setiap kawasan Parlimen, tanpa mengira perbezaan politik.
Berbalik kepada isu royalti, sikap yang ditunjukkan oleh YAB Menteri Besar Terengganu dan Kelantan wajar dipuji.
Di Terengganu dan Kelantan, pendekatan diplomasi dan rundingan sentiasa diutamakan. Kami tidak membina tembok, tetapi membuka pintu seluasnya.
Secara prinsipnya, pengagihan sumber yang adil dan cekap adalah penting bagi merapatkan jurang ekonomi wilayah yang diwarisi sejak merdeka.
Usaha ini menuntut kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Justeru demi menghormati semangat federalisme, (i) salurkan royalti petroleum terus kepada Kerajaan Negeri dan (ii) agihkan peruntukan Parlimen secara adil dan saksama; seumpama laluan Selat Melaka yang tidak terhalang, tidak diganggu gugat dengan pelbagai syarat dan halangan.
Syahir Sulaima
Penolong SU II PAS Pusat
Ahli Parlimen Bachok
26 April 2026




























