Setiausaha Politik Menteri Kewangan Sahkan Lebih Separuh Royalti Tak Masuk Akaun Terengganu

42

Kerajaan Negeri Terengganu mengambil maklum kenyataan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Saudara Muhammad Kamil Abdul Munim berhubung isu bayaran royalti petroleum kepada Terengganu.

2. Kerajaan Negeri merakamkan terima kasih kepada Saudara Kamil kerana kenyataan beliau secara tidak langsung mengesahkan perkara pokok yang dibangkitkan selama ini, iaitu lebih separuh royalti petroleum Terengganu tidak disalurkan terus ke akaun Kerajaan Negeri.

3. Namun, adalah tidak tepat apabila keadaan hari ini cuba disamakan dengan amalan pentadbiran terdahulu.

4. Ketika pentadbiran Persekutuan di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, sebahagian besar, malah pada ketika tertentu keseluruhan bayaran royalti disalurkan terus ke akaun Kerajaan Negeri.

5. Maka persoalan sebenar bukanlah mengapa Terengganu menuntut royalti, tetapi mengapa hak yang sebelum ini boleh disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri, kini tidak lagi diserahkan dengan cara yang sama.

6. Kerajaan Negeri Terengganu dipilih secara sah oleh rakyat dan mempunyai mandat untuk mengurus hasil negeri, menyusun pembangunan serta melaksanakan kebajikan berdasarkan keperluan rakyat Terengganu.

7. Royalti petroleum bukan sedekah, bukan ihsan dan bukan peruntukan yang wajar bergantung kepada pertimbangan politik semasa di Putrajaya.

8. Royalti ialah hak negeri yang wajib dilunaskan berdasarkan semangat sebenar Akta Pembangunan Petroleum 1974. Apabila hak itu diurus seolah-olah bergantung kepada budi bicara Kerajaan Persekutuan, maka maksud asal royalti telah dikaburkan.

9. Sebab itu Kerajaan Negeri akan terus memperjuangkan isu ini secara berprinsip, berfakta dan melalui saluran yang sah sebagaimana ditegaskan oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

10. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri tidak pernah menjadikan royalti sebagai satu-satunya sandaran ekonomi negeri. Selaras dengan titah KDYMM Pemangku Raja Terengganu supaya negeri mempelbagaikan sumber hasil selain petroleum, usaha memperkukuh hasil baharu dan menarik pelaburan strategik terus dilaksanakan.

11. Hasilnya, pada tahun 2025 hasil negeri meningkat kepada RM454.69 juta, angka tertinggi pernah direkodkan. Terengganu juga mencatat prestasi pelaburan terbesar dalam sejarah negeri, termasuk dalam sektor pembuatan, tenaga, industri hiliran dan teknologi hijau.

12. Namun kejayaan Terengganu meningkatkan hasil dan menarik pelaburan tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan hak royalti negeri.

13. Royalti bukan isu politik. Royalti ialah isu amanah, keadilan dan maruah negeri. Rakyat Terengganu tidak meminta lebih, hanya menuntut apa yang sememangnya menjadi hak negeri ini.

YB DR. USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI,
TIMBALAN PESURUHJAYA III PAS Terengganu
PENGERUSI JAWATANKUASA PENERANGAN, DAKWAH DAN PEMERKASAAN SYARIAH NEGERI TERENGGANU

*27 April 2026 | 9 Zulkaedah 1447H*